Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Maxis Bhd. kembali muncul sebagai peneraju pasaran bagi segmen pascabayar dan prabayar, manakala U Mobile kekal sebagai 'pemenang' dalam perang mudah alih di negara ini, menurut AmInvestment Bank Research.
Penganalisisnya, Alex Goh berkata, melihat kepada prestasi Maxis pada suku kedua, penguasaan pasaran syarikat telekomunikasi dan mudah alih ini meningkat lebih tinggi kepada 37.5%.
"Selain menjadi peneraju bagi segmen pascabayar, Maxis juga mengekalkan kedudukan utamanya dalam kategori prabayar dengan penguasaan pasaran sebanyak 36% (rendah sedikit berbanding 38% pada suku kedua 2020 apabila pengendali mudah alih yang lain turut berkembang dengan pantas dalam segmen ini).
"Bagaimanapun, tumpuan Maxis terhadap pelanggan pascabayar dan strategi konvergens dengan perkhidmatan jalur lebar terbukti berkesan dengan purata hasil setiap pengguna (ARPU) pada suku kedua 2021 adalah stabil pada RM47 sebulan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Tidak mahu ketinggalan berbanding telco yang lain, U Mobile baru-baru ini turut melancarkan pelan fibernya di Melaka, Cyberjaya, Perak dan Kedah bermula dengan harga potongan menarik pada RM64.50 sebulan bagi kelajuan 100Mbps.
"Dengan pakej prabayar RM30, tawaran data tanpa had dan 6GB hotspot dengan kelajuan sehingga 6Mbps dan tambah nilai RM5 sebulan bagi panggilan tanpa had, kami berpendapat, U Mobile kekal sebagai 'pemenang' dalam peperangan mudah alih ini," tambahnya.
Sementara itu, bagi pasaran jalur lebar pula, pelanggan unifi Telekom Malaysia Bhd. (TM) pada suku kedua mencecah rekod sehingga 188,000, iaitu 8.5 kali lebih tinggi berbanding pelanggan Maxis.
Secara keseluruhan, AmInvestment mendapati prestasi kewangan bagi sektor telekomunikasi pada separuh pertama 2021 adalah sejajar dengan unjurannya meskipun pendapatan bersih TM terjejas pada suku kedua 2021.
Time dotCom (unrated) pula merekodkan prestasi separuh pertama yang berada dalam jangkaan firma itu walaupun pertumbuhan pendapatan melebihi industri pada 13%.
Pada suku kedua, untung bersih teras operator mudah alih meningkat 20% kepada RM804 juta dengan pendapatan meningkat 4% kepada RM2.4 bilion.
Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor telekomunikasi dengan saranan 'beli' bagi saham TM berikutan prospeknya yang cerah di bawah inisiatif MyDigital.
Sementara itu, AmInvestment menyemak turun Maxis kepada 'pegang' berbanding 'beli' sebelum itu berdasarkan harga sahamnya kembali pulih baru-baru ini dengan nilai saksama dikekalkan pada RM5 sesaham. - DagangNews.com