Maybank catat peningkatan untung bersih 1.73% kepada RM8.2 bilion bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

Maybank catat peningkatan untung bersih 1.73% kepada RM8.2 bilion bagi FY22

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Khalijah Ismail (kiri) bersama Pengerusi, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa (tengah) dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khairussaleh Ramli (kanan) menunjukkan keputusan kewangan Maybank bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Feb - Maybank mencatatkan untung bersih sebanyak RM8.23 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) atau peningkatan sebanyak 1.73% berbanding RM8.1 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai pula meningkat 11.6% kepada RM12.15 bilion daripada RM10.89 bilion setahun sebelumnya dan keputusan itu didorong oleh peningkatan aktiviti ekonomi serantau yang menyokong pendapatan operasi kumpulan yang lebih tinggi serta kerugian kemerosotan nilai bersih yang lebih rendah.

 

Pendapatan operasi bersih meningkat kepada RM27.62 bilion berdasarkan peningkatan 8.4% dari tahun ke tahun dalam jumlah pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM20.69 bilion hasil daripada pertumbuhan pinjaman yang lebih kukuh dalam pasaran Malaysia dan Indonesia, sebanyak 6.7% dan 5.8% masing-masing serta pengembangan dalam margin faedah bersih (NIM) sebanyak 7 mata asas pada kadar faedah yang lebih tinggi.

 

Pendapatan bukan faedah (NOII) meningkat 9% kepada RM6.93 bilion terutamanya daripada keuntungan pasaran ke atas liabiliti kewangan dan keuntungan pertukaran asing.

 

Sementara itu, kos operasi lebih tinggi pada RM12.81 bilion berbanding RM11.52 bilion pada tahun sebelumnya berikutan normalisasi aktiviti perniagaan serta pelarasan perjanjian kolektif dan kos penebusan mata hadiah kad kredit sekali sahaja.

 

Bagaimanapun, keuntungan operasi praperuntukan meningkat sebanyak 6.3% dari tahun ke tahun mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM14.81 bilion.

 

Kerugian rosot nilai bersih berkurangan sebanyak 13.7% kepada RM2.79 bilion didorong oleh pengurangan 17.6% dalam peruntukan pinjaman bersih kepada RM2.19 bilion.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22), untung bersih kumpulan itu meningkat kepada 5.4% kepada RM2.17 bilion berbanding RM2.05 bilion bagi suku sama pada tahun lalu.

 

Trend yang sama juga dilihat dalam prestasi suku ke suku dengan untung sebelum cukai bagi suku tersebut yang meningkat 3.1% apabila kerugian kemerosotan nilai bersih turun 77.3% kepada RM191 juta.

 

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, 2022 merupakan tahun yang mencabar walaupun kumpulan mencapai kemajuan dalam mengembangkan asas pelanggannya dan mencatatkan peningkatan dalam keputusan suku keempatnya.

 

“Kami kekal fokus untuk menyampaikan pengalaman pelanggan terbaik sambil pada masa yang sama memenuhi cita-cita kami dengan membina hubungan yang dipercayai dan bermakna dengan pemegang kepentingan kami. 

 

"Kami mahu terus mencipta masa depan yang berdaya maju untuk semua, dengan membenamkan amalan kemampanan yang kukuh merentasi semua operasi kami untuk memacu perubahan positif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pertumbuhan itu mencerminkan kekuatan dan daya tahan Maybank ditambah dengan kelebihan daya saing yang diperoleh daripada kehadiran serantau, kepelbagaian dan tumpuan kepada pengalaman pelanggan.

 

“Pelaksanaan program strategik (SP) strategi M25+ kami untuk meneruskan pertumbuhan yang mampan dan membina keupayaan merentas manusia dan teknologi.

 

"Pada masa yang sama, kami akan menggandakan perniagaan sedia ada dan meningkatkan kualiti aset untuk menyampaikan prestasi yang lebih baik dan membiayai perjalanan kami.

 

"Program M25+ SPs akan berpaksikan kepada lima teras strategik utama terutamanya memperhebatkan tumpuan pelanggan, mempercepatkan pendigitalan dan pemodenan teknologi, mengukuhkan kehadiran perniagaan Maybank di seluruh rantau, memacu kedudukan kepimpinan kami dalam agenda kemampanan dan menuntut kepimpinan global kami dalam Perbankan Islam,” katanya. - DagangNews.com