KUALA LUMPUR 17 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan operasi pengangkutan kontena Swift Haulage Berhad menjadi perlahan disebabkan kelemahan ekonomi global.
Firma itu berkata, jangkaan itu bagaimanapun akan diimbangi segmen penghantaran barang kerana kadarnya meningkat dengan kukuh seiring kadar pengangkutan dengan kos operasi yang minimum.
"Pemulihan dalam segmen depoh kontena dan segmen pergudangan yang lebih baik sebagai penggunaan gudang baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu difahamkan bahawa kumpulan itu kehilangan beberapa pelanggan disebabkan caj pengangkutan yang lebih tinggi dan pemindahan gudang yang baru dibina.
Bagaimanapun, firma tidak terlalu bimbang kerana kesetiaan pelanggan yang rendah adalah perkara biasa di dalam industri.
"Prospek kumpulan itu lebih cerah didorong margin keuntungan sangat tinggi (melebihi 90%) dalam segmen penghantaran barang selain jumlah yang lebih tinggi dijangkakan untuk segmen pengangkutan darat selepas memulakan semula operasi Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).
"Kami juga menjangkakan sumbangan lebih tinggi daripada anak syarikat Watt Wah selepas pengambilalihannya baru-baru ini (sumbangan bermula sejak Disember 2022) dan peningkatan permintaan daripada segmen depoh kontena," katanya.
Firma itu berkata, kumpulan itu merancang untuk terus memanfaatkan tanah kosongnya untuk membina gudang baharu di kawasan yang strategik.
Katanya, dua gudang baharu iaitu di Mak Mandin Pulau Pinang (150,000 kaki persegi) dan Westports (250,000 kaki persegi) akan mula beroperasi pada suku pertama 2024.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 58 sen sesaham. - DagangNews.com