Maybank IB jangka Revenue Group rugi RM10.5 juta pada FY23 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka Revenue Group rugi RM10.5 juta pada FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan Revenue Group Berhad bagi FY23 kepada kerugian sebanyak RM10.5 juta selain memotong unjuran pendapatan FY24-FY25 sebanyak 61% dan 64%.

 

Firma itu berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan gabungan jualan terminal Electronic Data Capture (EDC) dan pendapatan sewa purata yang lebih rendah dan diselaraskan untuk trajektori pertumbuhan Nilai Barangan Kasar (GMV) dan MDR yang lebih rendah.

 

"Kami berpendapat perbalahan berterusan antara pemegang saham dan pengasas bersama kumpulan boleh menghalang strategi perniagaan yang berkesan untuk pemulihan dalam masa terdekat," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, Brian Ng Shih Chiow and Dino Ng Shih Fang berdepan kes mahkamah dengan kumpulan itu selepas mereka digantung sebagai pengarah eksekutif syarikat pada 4 Januari 2022.

 

Pada 27 Januari 2023, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan kedua-dua mereka atas dakwaan tuntutan palsu berkaitan pembelian kertas cetakan haba bernilai lebih RM400,000.

 

Pada 10 Februari, Dino dan Ng memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap kumpulan itu dengan menyatakan bahawa penggantungan mereka sebagai pengarah kumpulan itu adalah tidak sah.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih teras sebanyak RM15.1 juta pada 2QFY23, kebanyakannya disebabkan oleh akruan dan pembayaran penyelesaian transaksi tertunggak sebanyak RM9.2 juta pedagang asing bagi segmen ETP yang menghapuskan 65% daripada jumlah jualan suku tahunannya.

 

Katanya, akibatnya, kerugian terkumpul 1HFY23 berjumlah RM17.1 juta adalah jauh belakang unjuran firma itu.

 

"Tunai bersih juga merosot kepada RM16 juta pada akhir 2QFY23, daripada RM29.2 juta pada akhir 1QFY23," katanya.

 

Firma itu menyemak turun saranan kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah 37 sen sesaham. - DagangNews.com