KUALA LUMPUR 19 Jun - Langkah UEM Sunrise Bhd melupuskan 40% pegangannya dalam Aura Muhibah Sdn Bhd (AMSB) kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) akan menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM32 juta pada suku keempat tahun ini.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan ramalan pendapatan mereka terhadap kumpulan itu sementara menunggu jualan itu siap sepenuhnya.
"Selepas pelupusan, penggearan bersih kumpulan itu dijangka berkurangan kepada 0.41x, daripada 0.46x pada Mac 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berpandangan 'neutral' terhadap pelupusan itu kerana harga jualan itu adalah 6% lebih tinggi berbanding penjualan sebelumnya.
ARTIKEL BERKAITAN: UEM Sunrise jual baki 40% pegangan dalam Aura Muhibbah kepada KLK bernilai RM386.2 juta
Katanya, UEM Sunrise sebelum ini melupuskan 20% pegangan dalam AMSB kepada KLK pada Oktober 2020 pada harga RM183 juta (atau RM8.38 sekaki persegi) tetapi ia adalah 27% lebih rendah daripada RM12 sekaki persegi yang EcoWorld bayar untuk sebidang tanah di Kulai pada September 2023.
"Ia mungkin disebabkan oleh saiz tanah yang lebih besar berbanding dengan 163.4 hektar yang diberli EcoWorld.
"Pelupusan itu sejajar dengan strategi kumpulan bagi mengukuhkan kunci kira-kiranya dengan mengewangkan bank tanah bukan teras dan memberi fokus semula kepada projek perindustriannya di Iskandar Puteri," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM1.00 sesaham. - DagangNews.com