Maybank IB kekalkan unjuran KDNK 2021 5.1% | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekalkan unjuran KDNK 2021 5.1%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Biarpun kerajaan menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang antara 6.5% hingga 7.5% menjelang tahun hadapan, namun Maybank IB mengekalkan ramalan setakat 5.1%.

“Nominal KDNK dijangka pulih sebanyak +8.9% pada tahun 2021 setelah diramalkan menguncup sebanyak -4.7% pada tahun 2020.

“Bagaimanapun, nilai defisit bajet agak besar pada tahun 2021 pada kadar -RM84.8 bilion, secara marginnya rendah daripada yang diramalkan pada tahun 2020, -RM86.5 bilion. 

“Kami mengekalkan ramalan defisit bajet sebanyak -6.7% daripada KDNK (-RM95.2 bilion) pada 2020 dan -6% (RM90.1 bilion) pada 2021 setakat ini berdasarkan ramalan nominal KDNK yang lebih konservatif iaitu -5.4% hingga -6% pada 2020 dan +5.1% hingga +5.2% pada 2021,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya. 

Nisbah ramalan defisit bajet kerajaan kepada KDNK adalah sebanyak -5.4% pada tahun 2021, menurun daripada -6% yang diramalkan pada 2020.

Ini sebahagiannya menggambarkan ‘peningkatan’ dalam ramalan KDNK sebenar, melonjak lebih kukuh antara +6.5% hingga 7.5% setelah kemelesetan ekonomi sebanyak -4.5% pada 2020.

Untuk rekod, defisit bajet Malaysia dari bulan Januari hingga September 2020 bernilai -RM80.4 bilion, meningkat 151% daripada -RM32 bilion dalam tempoh sama pada 2019. 

Tambah Maybank IB, faktor yang menyumbang kepada prospek peningkatan ekonomi adalah kadar pengangguran yang dijangka menurun kepada 3.5% pada tahun hadapan daripada 4.3% pada tahun 2020, menghampiri paras sebelum COVID-19 iaitu 3.3% antara tahun 2018 hingga 2019. 

“Kami menjangkakan kadar pengangguran yang tidak berubah iaitu 4.5% pada 2020 dan 2021,” tambah Maybank IB.

Dalam pada itu, kerajaan turut mengemas kini Kerangka Fiskal Tempoh Masa Sederhana (MTFF) yang merangkumi ramalan fiskal makro bagi tempoh tiga tahun dengan meletakan sasaran dan siling hasil, perbelanjaan serta defisit keseluruhannya.

Sebarang kemerosotan daripada ramalan MTFF dan sasaran berkaitan akan dianggap meningkatkan risiko tambahan levi terhadap sektor korporat untuk menghubungkan jurang defisit dan mencegah kemungkinan penurunan penilaian hutang negara Malaysia.

Kata Maybank IB, ini mungkin dilemahkan oleh wang ringgit dan secara keseluruhannya meningkatkan kos pembiayaan. - DagangNews.com