Maybank IB naikkan unjuran kerugian Eco World International sebanyak 145% pada FY24 kesan jualan lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Maybank IB naikkan unjuran kerugian Eco World International sebanyak 145% pada FY24 kesan jualan lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menaikkan unjuran kerugian Eco World International Bhd sebanyak 145% bagi FY24 selepas mengambil kira andaian jualan yang lebih rendah sebanyak RM620 juta atau penyusutan sebanyak 27%.

 

Katanya, ia juga merangkumi perancangan hapus kira kos sebanyak RM22 juta untuk projek Quayside Barking.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tanpa hapus kira, kumpulan itu boleh kembali mencatatkan keuntungan pada 3QFY24 dengan margin produk margin lebih baik, keuntungan daripada penjualan unit komersial dan kos pegangan yang lebih rendah untuk inventori.

 

Kumpulan itu akan terus memberi tumpuan untuk menghabiskan stok rumahnya yang tidak terjual dan mengagihkan lebihan tunai kepada pemegang sahamnya.

 

"EcoWorld International juga tiada sebarang perancangan untuk melancarkan projek baharu dalam jangka masa pendek kerana pasaran yang sangat mencabar di United Kingdom (UK).

 

"Sekiranya tiada projek baharu, kami menjangkakan kumpulan itu akan terus menanggung kerugian dalam jangka sederhana," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, EcoWorld International mencatatkan kerugian kasar yang lebih kecil sebanyak RM8.2 juta pada 3QFY24 berbanding kerugian kasar sebanyak RM10.1 juta pada 3QFY23.

 

Embassy Gardens, yang membawa masuk jualan RM224 juta, merupakan penyumbang terbesar, diikuti Wardian (RM146 juta), dan Millbrook Park (RM55 juta).

 

Maybank IB berkata, termasuk RM48 juta dalam jualan rizab, jualan langsung 10MFY24 dan rizab berjumlah RM549 juta atau 65% daripada sasaran jualan RM850 juta untuk FY24.

 

Katanya, jualan suku tahun berikutnya mungkin lebih rendah kerana unit yang lebih besar mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk dijual.

 

"Kumpulan itu dijangka tidak dapat menghabiskan baki stok yang tidak terjual bernilai RM330 juta termasuk unit komersial bernilai RM120 juta menjelang 4QFY24," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran 27 sen sesaham. - DagangNews.com