Maybank IB sasar KLCI tamatkan 2023 pada paras 1,660 mata didorong pendapatan korporat lebih kukuh | DagangNews Skip to main content

Maybank IB sasar KLCI tamatkan 2023 pada paras 1,660 mata didorong pendapatan korporat lebih kukuh

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyasarkan KLCI akan mengakhiri 2023 pada 1,660 mata degan daya tarikan pasaran dilihat meningkat pada separuh kedua tahun ini didorong risiko politik yang lebih rendah, pertumbuhan pendapatan korporat yang lebih kukuh dengan ketiadaan Cukai Makmur.

 

Firma itu berkata, keadaan itu akan bertambah baik dengan selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri selain dinamik kadar inflasi, faedah global menjadi lebih menguntungkan.

 

Katanya, kebanyakan sektor dijangka mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi pada 2023 kecuali untuk pembinaan (penurunan 0.6%; tetapi ini disebabkan oleh ketiadaan pendapatan lebuh raya bertol Gamuda selepas jualan mereka), Petrochem (penurunan 26.9%) dan perladangan (penurunan 28% kesan purata harga jualan minyak sawit mentah yang lebih rendah).

 

Firma itu juga menjangkakan sektor sarung tangan terus mencatatkan kerugian.

 

"Pendapatan teras sektor bank (mencatatkan peningkatan 13.2%) dan utiliti (pertambahan 12.1%) dijangka lebih tinggi, dengan bank dijangka mencatat rekod keuntungan tahun lain.

 

"Pemulihan dalam pendapatan sektor akan membayangkan pendapatan yang lebih tinggi daripada pra-pandemik manakala pendapatan teras sektor penerbangan dijangka mengecil dengan ketara," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka menyederhana kepada 4% tahun ini dan ia mencerminkan kesan kadar inflasi tinggi ke atas perbelanjaan dan kesan kemelesetan ekonomi global terhadap perdagangan luar.

 

Katanya,walaupun pelabur optimis terhadap situasi politik semasa tetapi ia tidak membawa sebarang perubahan besar dalam aktiviti pasaran.

 

"Prestasi KLCI yang lemah lebih tertumpu kepada sektor berwajaran tinggi seperti bank dan perladangan dan syarikat perladangan kecil dan sederhana (SMID) yang mempunyai perwakilan dalam KLCI seperti tenaga, pengangkutan/logistik, produk perindustrian, hartanah dan pembinaan berasaskan ekonomi domestik.

 

"Segmen teknologi tidak menentu tetapi juga menunjukkan prestasi yang lebih baik sehingga baru-baru ini," katanya. - DagangNews.com