KUALA LUMPUR 3 Mac - Maybank Investment Bank (Maybak IB) mengunjurkan Pintaras Jaya Berhad berhadapan tempoh 'sangat sukar' bagi FY23.
Firma itu berkata, ketika isu berkaitan tenaga pekerja di Malaysia mula mencatatkan penurunan, kos tenaga kerja, bahan mentah serta bahan api kekal tinggi.
Katanya, projek sedia ada yang diraih lebih awal terus mencatatkan lebihan kos dan pada masa sama kumpulan itu berdepan persaingan yang 'sangat sengit' keranan kekurangan projek.
"Di Singapura, pengurusan kumpulan itu mengharapkan kadar tender menjadi lebih kompetitif kos pembinaan menjadi lebih stabil.
"Operasi pembuatannya juga menghadapi tekanan ke atas harga jualan manakala kos bahan dan perbelanjaan operasi (opex) kekal tinggi," katanya dalam satu nota kajian.
Firma itu berkata, hasil pembinaan bagi suku kedua menyusut 46% disebabkan oleh kekurangan projek yang diperoleh di samping produktiviti yang rendah daripadaprojek sedia ada.
Katanya, nilai kontrak yang diraih juga lebih rendah akibat daripada persaingan.
"Segmen pembinaan mengalami kerugian kerana projek yang sedang berjalan terus terjejas oleh harga bahan mentah yang lebih tinggi, kos buruh yang lebih tinggi dan produktiviti yang rendah.
"Hasil pembuatan juga merosot kerana jumlah jualan yang lebih rendah, manakala kos bahan dan opex yang lebih tinggi menjejaskan keuntungan sebelum cukai dan segmen itu hanya mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM400,000 pada suku kedua," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.96 sen sesaham. - DagangNews.com