KUALA LUMPUR 13 Okt - Maybank Investment Bank mengunjurkan platform Rider Gate akan menjadi pemacu baharu untuk perniagaan Ramssol Group Berhad.
Firma itu berkata, platform yang membolehkan peniaga runcit motosikal menjual barangan dan perkhidmatan mereka selain menguruskan operasi harian itu akan mengimbangi penurunan dalam penyelesaian komunikasi digitalnya terutama selepas tenaga kerja kembali secara fizikal.
Katanya, potensi sumbangan hasil daripada Rider Gate boleh mengimbangi sebahagian penurunan permintaan terhadap aplikasi Lark selepas ramai pekerja sudah mula kembali ke pejabat.
"Menurut Persatuan Pemasangan dan Pengedar Motosikal & Skuter Malaysia (MASSAM), hampir 500,000 mostosikal baharu terjual pada 2020 dan 2021.
"Ia tidak termasuk pasaran motosikal terpakai yang melibatkan urus niaga antara 50,000 hingga 60,000 sebulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, Rider Gate merupakan penyelesaian digital dalaman baharu kumpulan untuk meliberalisasikan industri motosikal tempatan dengan mengautomasikan pengurusan pasaran, inventori dan pergudangan melalui satu platform digital.
Katanya, potensi platform itu terletak pada yuran tetap berulang bagi setiap transaksi motosikal baharu dan terpakai, aksesori dan perkhidmatan berkaitan yang dilakukan.
"Kumpulan itu merancang untuk melancarkan Rider Gate kepada pengedar motosikal utama lain di Malaysia.
"Ia merancang untuk melakukan penjanaan dana ekuiti untuk membiayai pembangunan platform serta pengurusan yang dijangka menelan kos antara RM18 juta hingga RM20 juta dalam dua fasa," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 60 sen sesaham. - DagangNews.com