KUALA LUMPUR 17 Feb - Hibiscus Petroleum Berhad diunjur merekodkan prospek yang lebih kukuh bagi separuh kedua 2023 berikutan sasaran jualan yang lebih tinggi dan operasi Anasuria yang lebih baik.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, unjuran peningkatan pendapatan itu dibuat berdasarkan jangkaan harga minyak yang lebih tinggi dan mempercepatkan rancangan perkembangan mereka.
"Kumpulan itu menetapkan minimum dividen sesaham (DPS) sebanyak 2.5 sen bagi FY23.
"Bagaimanapun kami menjangkakan berlakunya peningkatan selepas mengambil kira kekuatan aliran tunai kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu merekodkan peningkatan untung bersih sebanyak 45.3% pada suku kedua berakhir 31 Disember 2022 kepada RM70.47 juta daripada RM48.49 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Pendapatan kumpulan itu pada suku berkenaan meningkat 150.74% kepada RM713.13 juta daripada RM284.4 juta.
Peningkatan tersebut, menurut kumpulan itu, adalah berikutan harga tinggi yang konsisten untuk minyak, hasil pemeluwapan dan gas serta prestasi operasi yang kuku
BACA JUGA: Harga minyak meningkat, untung bersih Q2 Hibiscus Petroleum melonjak kepada RM70.47 juta
Firma itu berkata, untung bersih kumpulan itu bagi tempoh separuh pertama berakhir 31 Disember 2022, membentuk 46% daripada anggaran tahun penuh mereka.
Walaupun kumpulan itu menetapkan sasaran minimum DPS 2.5 sen pada FY23, firma itu berkata pembayaran yang lebih tinggi adalah pemangkin dan ia berdasarkan kekuatan kewangannya.
"Memastikan lanjutan untuk operasi Repsol dan kelulusan Perancangan Pembangunan Lapangan (FDP) untuk projek Marigold adalah pemangkin lain," katanya.
Kumpulan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.90 sesaham. - DagangNews.com