Maybank Islamic lancar pengurusan kekayaan patuh syariah | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic lancar pengurusan kekayaan patuh syariah

 

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Maybank Islamic Bhd. melancarkan penyelesaian Pengurusan Kekayaan patuh Syariah (IWM) yang komprehensif merangkumi kesemua 5 elemen penting iaitu penciptaan kekayaan, pengumpulan, perlindungan, penyucian dan pengagihan harta.

 

Penyelesaian IWM ini adalah unik kerana bank menyediakan satu pusat yang menghubungkan semua produk dan perkhidmatan patuh syariah di bawah satu bumbung dalam kumpulan Maybank. 

 

Antaranya termasuklah perkhidmatan simpanan tetap, produk pelaburan, takaful, zakat dan sumbangan wakaf hingga perancangan harta tanah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, teras kepada penawaran ini adalah jaminan bahawa penyelesaian yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Syariah Maybank Islamic  terdiri daripada para cendekiawan kewangan Islam dan pengamal industri yang diperakui.

 

Katanya, pelancaran penyelesaian komprehensif ini secara khusus untuk memenuhi keperluan pelanggan, tetapi ia tidak terbatas kepada pelanggan yang mempunyai kepercayaan dan menjalani gaya hidup dengan memilih untuk mendapatkan tawaran berasaskan syariah sahaja.

 

"Bahkan, penyelesaian ini adalah untuk memberi pelanggan pilihan sekiranya penyelesaian pengurusan kekayaan konvensional tidak memenuhi keperluan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Penyelesaian IWM ini terbuka untuk pelanggan baharu dan sedia ada yang mengekalkan aset pelaburan minimum bernilai RM50,000 dengan pihak bank.

 

Setiap pelanggan IWM juga akan dilayan oleh penasihat kekayaan yang diperakui oleh Perancang Kewangan Islam (IFP) bagi memberikan nasihat untuk mencari produk dan perkhidmatan yang sesuai dengan keperluan setiap pelanggan, sekali gus dapat menjimatkan masa.

 

Selain itu, pelanggan IWM juga akan mempunyai akses kepada penasihat syariah untuk mendapatkan pandangan pakar berkaitan pengurusan kekayaan patuh syariah dan perancangan pewarisan seperti zakat, wasiat dan hibah.

 

Maybank Islamic merupakan salah satu institusi perbankan Islam terkemuka di ASEAN dan berhasrat untuk menjadi peneraju utama bagi penyelesaian IWM. 

 

Dengan sokongan Kumpulan Maybank, Maybank Islamic juga berhasrat untuk mengembangkan perniagaan ini di 2 lagi operasi perbankan penting bank berkenaan iaitu Indonesia dan Singapura dalam tempoh beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com