KUALA LUMPUR 22 Mei - MBSB Bank Bhd menerima sebanyak 62,638 penyertaan untuk kempen 'Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0' CASA-i (SBMB 2.0) sejak September 2022 hingga Mei 2023.
Ketua Pegawai Kewangannya, Ramanathan Rajoo berkata, pihaknya juga melihat peningkatan dalam jumlah deposit akaun simpanan dan akaun semasa PrimeWin-i melalui kempen itu.
Katanya, pihaknya menghargai sokongan yang diberikan para pelanggan mereka.
"Kempen SBMB 2.0 yang bermula pada 1 September 2022 dan akan berakhir pada 31 Mei 2023 menawarkan hadiah-hadiah menarik bernilai RM2.4 juta termasuklah kereta mewah, motosikal, telefon pintar, wang tunai dan pelbagai lagi.
"Kempen ini terdiri dari tujuh kategori cabutan iaitu Bulanan, Kesetiaan, Simpanan Baharu, Digital, Simpanan Tinggi Serantau, Istimewa serta Utama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, bagi menghargai pelanggan setianya, MBSB Bank menganjurkan majlis penyampaian hadiah untuk kempen SBMB 2.0 bagi suku kedua di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Bagi suku kedua, pemenang Cabutan Pertama bertuah yang berasal dari Kluang, Johor, Ong Chin Eng telah membawa pulang sebuah kereta Mercedes-Benz C200.
Manakala enam pemenang lagi, Yong Pao Chui, Ong Chin Boon, Nurul Huda Osman, Yeoh Kwee Hong, Kung Lai Kheng dan Chan Wei Meng masing-masing memenangi Wafer Emas Habib bagi Cabutan Simpanan Tinggi Serantau Wilayah Utara.
Bagi Cabutan Istimewa pula, MBSB Bank mengumumkan sembilan pemenang, yang mana hadiah-hadiah seperti sebuah basikal lipat Croze Pro, pakej umrah, pakej percutian ke Eropah, Thermomix, Wafer Emas Habib serta Kad Hadiah Petronas telah dimenangi.
Kepada yang berminat untuk menyertai kempen SBMB 2.0, penyertaan boleh dilakukan melalui pembukaan Akaun Simpanan atau Akaun Semasa Primewin-i dengan jumlah deposit minimum bernilai RM100 di mana-mana cawangan MBSB Bank, atau dalam talian, di laman web MBSB Bank, www.mbsbbank.com. - DagangNews.com