KUALA LUMPUR 21 Okt - Malaysia Building Society Berhad (MBSB) telah mengemukakan permohonan kelulusan daripada Negara Malaysia (BNM) bagi cadangan pengambilalihan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) daripada Permodalan Nasional Berhad, bagi membentuk kumpulan perbankan Islam sejagat.
Tertakluk kepada kelulusan daripada BNM dan/atau Kementerian Kewangan, Jualan muktamad dan Perjanjian Pembelian akan ditandatangani oleh pihak yang berurus niaga.
"Selepas itu, kelulusan pengawal selia lain dan pemegang saham akan diperoleh," kata MBSB dalam kenyataan di sini hari ini.
Urus niaga yang dicadangkan adalah strategik kerana MBSB Bank dan MIDF adalah dua kumpulan perkhidmatan kewangan berbeza dengan produk dan perkhidmatan pelengkap.
"Perbankan Islam sejagat kumpulan dijangka menawarkan rangkaian penyelesaian kewangan yang lebih luas kepada rangkaian pelanggan yang lebih besar," kata MBSB.
Pada April lalu, BNM memberi kebenaran kepada MBSB untuk memulakan rundingan dengan PNB bagi cadangan pengambilalihan 100% kepentingan dalam MIDF, yang sah bagi tempoh selama 6 bulan daripada tarikh surat itu dikeluarkan.
Pada Februari 2018, MBSB menyelesaikan pengambilalihan Asian Finance Bank (AFB) untuk menjadi anak syarikat pada harga RM644.95 juta.
Pengambilalihan itu menyaksikan MBSB kini memegang 100% kepentingan di dalam AFB yang kemudiannya dikenali sebagai MBSB Bank.
Bagi tempoh 9 bulan tahun kewangan 2021, jumlah aset MBSB Bank berjumlah RM49.3 bilion, dengan pembiayaan berjumlah kira-kira RM35.1 bilion dan instrumen kewangan kira-kira RM12 bilion.
MIDF pula pada 2020, gagal dalam rundingannya untuk bergabung dengan Al Rajhi Banking and Investment Corp. (M) Bhd. susulan wujudnya perselisihan mengenai pelaksanaan undang-undang syariah yang diutamakan. - DagangNews.com