McDonald’s anjur Program Musaadah Korban Perdana sempena Aidiladha | DagangNews Skip to main content

McDonald’s anjur Program Musaadah Korban Perdana sempena Aidiladha

AZMIR JAAFAR (kiri) menyampaikan pek agihan kepada Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai simbolik permulaan agihan daging korban Program Musaadah Korban Perdana anjuran McDonald’s Malaysia,  disaksikan Mohd Ajib Ismail di Putrajaya, hari ini.

 

PUTRAJAYA 21 Julai – McDonald’s Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjayakan Program Musaadah Korban Perdana hari ini, bagi membantu golongan memerlukan.

 

Melalui program ini, McDonald’s Malaysia menyumbangkan sebanyak 12 ekor lembu, dan pembahagian daging akan diagihkan kepada kira-kira 1,000 keluarga daripada golongan yang memerlukan dan terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, pihaknya berharap agihan daging korban ini dapat meringankan beban mereka yang terlibat.

 

"Besar harapan kami agar mereka juga dapat meraikan Hari Raya Aildiladha pada tahun ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Program korban perdana yang dilakukan ini juga adalah sebahagian daripada usaha kami dalam mewujudkan impak positif dalam masyarakat di bawah Program Komuniti @ McDonald’s & RMHC. Menyumbang kepada golongan yang memerlukan merupakan nilai teras syarikat yang sentiasa diutamakan,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail, turut hadir semasa agihan daging korban bagi Program Musaadah Korban Perdana di McDonald’s Putrajaya, Presint 2.

 

Dr. Zulkifli bekata, Program Musaadah Korban Perdana ini adalah sebahagian daripada inisiatif Musaadah yang dimulakan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi membantu rakyat yang memerlukan dan terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Menurutnya, inisiatif ini dilaksanakan di seluruh negara melibatkan kerjasama Agensi Mengurus Zakat, Majlis Agama Islam di setiap negeri dan mana-mana pihak yang menyalurkan bantuan.

 

"Khusus sempena sambutan Aildiladha, kami amat berterima kasih atas kesudian pihak McDonald’s Malaysia untuk turut serta menjayakan program pada hari ini.

 

"Semoga lebih banyak organisasi atau syarikat korporat dapat tampil ke hadapan untuk bersama-sama kita dalam melakukan kebajikan,” kata beliau.

 

 

McD
DAGING-daging korban yang diletakkan di dalam pek plastik untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

 

 

Bagi memastikan Program Musaadah Korban Perdana ini berjalan lancar, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memainkan peranan penting memastikan ibadah korban dilakukan oleh pegawai yang terpilih dan dalam persekitaran yang selamat. Ini termasuklah mengenal pasti individu yang layak menerima agihan daging korban.

 

Sementara itu, Mohd Ajib berkata, situasi pandemik masa kini memerlukan semua pihak lebih peka terhadap langkah keselamatan demi kesejahteraan semua.

 

"Pihak kami sangat berbesar hati apabila diberi kepercayaan menjalankan tugas ini lebih-lebih lagi ketika sambutan Aidiladha yang membawa makna yang sangat besar bagi umat Islam,” kata beliau. - DagangNews.com