MCMC anjurkan rundingan awam bagi kerangka pelesenan khidmat kurier baharu | DagangNews Skip to main content

MCMC anjurkan rundingan awam bagi kerangka pelesenan khidmat kurier baharu

CYBERJAYA 13 Julai - Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) yang lahir daripada inisiatif Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL) baru-baru ini, bermatlamat untuk menyampaikan kualiti perkhidmatan yang lancar kepada semua rakyat Malaysia.

 

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), ia adalah  bagi menyokong pertumbuhan industri e-dagang daripada 14 bungkusan per kapita kepada 30 bungkusan per kapita menjelang 2025 menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik.

 

Dalam usaha untuk memperkasakan industri pos dan kurier negara, satu sesi Rundingan Awam telah diadakan oleh MCMC pada 5 Julai lalu, bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas pihak-pihak berminat dan berkepentingan terhadap kerangka pelesenan perkhidmatan kurier baharu yang dicadangkan.

 

Dokumen Rundingan Awam tersebut boleh diperoleh melalui pautan di:
https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/MCMC_Li
censing_Framework_PublicConsultationQuestionaire.pdf.

 

Terdapat 13 soalan soal selidik dalam Dokumen Rundingan Awam itu bagi mendapatkan maklum balas responden berkaitan dengan perkara-perkara berikut:

i) Prinsip panduan untuk kerangka pelesenan kurier baharu;

ii) Cadangan struktur pelesenan baharu;

iii) Cadangan syarat-syarat pelesenan standard;

iv) Cadangan syarat-syarat pelesenan khas;

v) Cadangan model fi pelesenan baharu; dan

vi) Cadangan proses migrasi dan pemetaan.

 

"Tarikh akhir penghantaran maklum balas untuk Rundingan Awam tersebut ialah pada pukul 12 tengah hari, Jumaat, 30 Julai 2021," kata suruhanjaya tersebut. - DagangNews.com