KUALA LUMPUR 17 April - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati wujud penyiaran satu lagi iklan yang mengajak umat Islam di negara ini untuk "berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri" yang tular di media sosial ketika ini.
"Penyebaran video-video sedemikian dimuat naik di platform yang berpangkalan di luar negara dan tidak dapat dikawal. Manakala kandungan yang dimuat naik tidak perlu melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana ia bukan di platform tempatan," kata MCMC dalam kenyataan di sini hari ini.
Lantaran itu, MCMC telah sekali lagi menghubungi pihak penyedia platform media seperti Facebook, Twitter, dan YouTube untuk menurunkan kandungan berkenaan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka.
Setakat ini kata suruhanjaya tersebut, sejumlah 61 kandungan telah diminta untuk diturunkan oleh pihak Facebook, Twitter dan YouTube yang berpangkalan di luar negara.
"Sebanyak 13% daripadanya telah pun diturunkan berdasarkan pelanggaran terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan pihak mereka, manakala selebihnya masih dalam proses penilaian dan penelitian penyedia platform.
"Terdapat pertambahan yang mendadak kepada kandungan dilaporkan kepada penyedia platform pada hari ini, kerana terdapat percambahan dari semasa ke semasa berdasarkan muat naik semula oleh pengguna-pengguna media sosial, yang menyukarkan proses pembasmian penyebaran kandungan tersebut," kata MCMC.
Menurut suruhanjaya itu, usaha membasmikan kandungan ini juga bergantung kepada rakyat Malaysia amnya.
Oleh yang demikian, pihak MCMC menyeru kepada para pengguna media sosial di negara ini agar lebih bertanggungjawab dengan melaporkan secara terus kepada pihak berkuasa mengenai penyebaran
video-video yang bercanggah dengan norma masyarakat untuk tindakan susulan mereka dan tidak menyebarluaskan kandungan berkenaan.
"Ini adalah penting kerana perbuatan menyebarluaskan kandungan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut," kata suruhanjaya.
Perlu diperingatkan bahawa penghasilan kandungan adalah tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia untuk dipatuhi oleh mereka yang terlibat dengan penghasilan dan pengedaran kandungan.
Dalam kebebasan menyediakan kandungan, penyedia harus mengikuti kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat Malaysia yang majmuk.
Pada masa yang sama kata MCMC, pihak-pihak yang terlibat seperti kru produksi dan pelakon seharusnya perlu lebih peka untuk tidak turut sama bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian, yang jelas merupakan satu kesalahan. - DagangNews.com