MDEC lancar Buku Panduan Digital bantu usahawan ke arah pendigitalan | DagangNews Skip to main content

MDEC lancar Buku Panduan Digital bantu usahawan ke arah pendigitalan

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri

 

 


KUALA LUMPUR 12 Ogos - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan Buku Panduan Digital dan Panduan Pantas untuk industri makanan & minuman (F&B) dan peruncitan bagi menggalakkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan pendigitalan.

 

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Inisiatif Digital 100 Go Digital MDEC dengan matlamat utama buku panduan ini untuk menilai semula peluang dan kesediaan mereka dalam digital menerusi panduan lengkap untuk menambah baik keupayaan digital semasa dan memulakan perjalanan transformasi digital.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, penerbitan buku panduan ini penting untuk membantu perniagaan dan PKS dalam usaha mempercepatkan penerimaan digital dengan teratur dan menyediakan faedah yang mudah.

 

Katanya, ini akan memperkasakan perniagaan dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan selain memastikan mereka kekal kukuh dalam mendepani cabaran COVID-19.

 

“Teknologi digital merupakan transformasi besar untuk setiap sektor. Walaupun proses ini akan mendatangkan pelbagai cabaran getir kepada PKS, terutama bagi perniagaan tradisional, namun ia mampu mencipta peluang baharu yang lebih besar kepada mereka. 

 

"Malaysia mungkin mendapat penarafan tinggi dalam kedudukan kesediaan digital, tetapi penerimaan digital oleh PKS dan perniagaan tradisional masih rendah disebabkan oleh tiada kesedaran, kesediaan, pengetahuan dan penghayatan manfaat daripada pendigitalan, begitu juga salah faham mengenai kos yang tinggi perlu ditanggung untuk melaksanakan teknologi baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Selain menyasarkan kepada PKS, buku panduan ini juga memberi fokus untuk membantu perniagaan tradisional untuk memulakan perjalanan mereka dalam penerimaan digital. 

 

Perniagaan yang sedang merancang untuk menambah baik perniagaan mereka menerusi digital boleh memanfaatkan buku panduan ini untuk memperoleh idea dan cadangan.

 

Ketika ini, Buku Panduan Digital PKS memberi fokus kepada F&B dan peruncitan serta didatangkan dalam 2 panduan rujukan untuk setiap sektor. 

 

Buku Panduan Digital Pantas menawarkan maklumat yang mudah difahami untuk rujukan segera dengan menyediakan pandangan aras tinggi dalam perniagaan.

 

Kelebihan lain Buku Panduan Digital PKS adalah mempunyai maklumat yang lengkap dengan pendekatan yang lebih teratur dalam memaparkan keperluan digital, teknologi, matlamat perniagaan dan amalan terbaik dalam membantu PKS meningkatkan keupayaan digital mereka.

 

Buku Panduan Digital PKS ini dibangunkan bersama dengan International Data Corporation (IDC), di
mana mereka menyediakan analisis pasaran dan teknologi secara terperinci. - DagangNews.com