MDEC, TM meterai MoU perkukuh kesediaan digital | DagangNews Skip to main content

MDEC, TM meterai MoU perkukuh kesediaan digital

MoU antara MDEC dan TM

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan lagi kesediaan digital Malaysia ke arah merialisasikan aspirasi Negara Digital.

Kolaborasi tersebut merangkumi empat bidang utama iaitu memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) secara digital; merancakkan ekonomi digital luar bandar; memperkasa rakyat Malaysia dengan kemahiran-kemahiran digital dan memanfaatkan kelebihan kedua-dua pihak dalam melaksanakan program-program sokongan digital dan interaksi dengan komuniti.

Lebih penting, kerjasama itu membawa dua organisasi nasional berkenaan untuk bergerak seiring dalam memberikan capaian digital dan impak ekonomi lebih besar bagi kemakmuran bersama buat seluruh rakyat Malaysia.

Pengerusi TM, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh berkata, pihaknya amat teruja dapat berganding bahu dengan MDEC dalam usaha penting itu selain mencari persamaan dalam melaksanakan inisiatif terbaik ke arah membina asas kukuh bagi Ekonomi Digital negara.

"Apa yang TM boleh bawakan kepada kolaborasi ini adalah infrastruktur kami yang lengkap dan keupayaan untuk menjangkau bukan sahaja kepada para pelanggan kami tetapi juga kepada lebih ramai rakyat Malaysia di seluruh negara, menerusi pelbagai pusat hubungan dan platform-platform interaksi kami. 

 

Mohd. Bakke Salleh
Mohd. Bakke Salleh

 

"Kami juga berusaha mempersiapkan tenaga kerja digital masa hadapan dengan kemahiran-kemahiran yang tepat untuk sebuah ekosistem perniagaan digital," ujarnya lagi.

Di bawah MoU berkenaan, TM dan MDEC akan bekerjasama dalam memadan, memperkenal dan menghubungkan TM dengan ekosistem MSME serta rakan-rakan utama MDEC seperti program Perkhidmatan eDagang Setempat (PeDAS), Pusat Internet Desa (PID) dan Digital Xceleration (DX), serta pelanggan-pelanggan MSME TM bagi menawarkan produk dan perkhidmatan dalam bidang teknologi yang telah dikenalpasti oleh TM ke arah memperkukuh komuniti SME. 

Dalam memperkasa ekonomi digital luar bandar, kedua-dua organisasi itu akan meneroka inisiatif-inisiatif bagi memperluaskan lagi infrastruktur sambungan yang kemudiannya mampu membantu melatih masyarakat tentang cara untuk meningkatkan penggunaan teknologi terkini bagi memperbaiki operasi perniagaan. 

 

Rais Hussin Mohamed Ariff
Rais Hussin Mohamed Ariff

 

Latihan dan bengkel-bengkel untuk mempertingkatkan kemahiran dan kompetensi digital kumpulan masyarakat akan turut dikendalikan oleh MDEC dan TM.

Bimbingan itu termasuklah mengetengahkan kesedaran kemahiran-kemahiran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) kepada para guru, pelajar dan golongan belia bagi mempersiapkan mereka untuk era digital.

Sementara itu, Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, kolaborasi tersebut akan melengkapi “Malaysia 5.0” sebagai naratif baharu bagi
memperkenalkan teknologi-teknologi baharu yang akan memfokus kepada memacu pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

"Lebih utama, usaha bersama MDEC-TM ini penting kepada ekonomi digital ‘Malaysia 5.0’ yang akan membenarkan akses dan sambungan lebih meluas yang akan membolehkan negara merealisasikan potensi penuh yang Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) boleh berikan kepada ekonomi.

"Ini membuktikan kami tekad untuk menjayakan agenda ekonomi digital buat semua dan menjadikan Malaysia sebagai nadi digital ASEAN," tambahnya lagi. - DagangNews.com