Media Prima jual tanah: Tiada pemangkin perolehan serta-merta | DagangNews Skip to main content

Media Prima jual tanah: Tiada pemangkin perolehan serta-merta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Julai - Firma penyelidikan, MIDF Research tidak mengubah penarafan ‘neutral’ ke atas saham Media Prima Berhad (MPB) walaupun kumpulan mengambil tindakan untuk menjual aset tanahnya yang terletak di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Port Klang.

 

Ini susulan firma itu tidak melihat sebarang pemangkin terhadap perolehan Media Prima dalam masa terdekat ini, dan dalam masa sama mengekalkan unjuran prestasi kewangan kumpulan untuk tempoh beberapa tahun kewangan akan datang.

 

“Kami difahamkan bahawa langkah ini sejajar dengan perancangan MPB untuk melupuskan hartanahnya yang berada di lokasi yang tidak mempunyai potensi pembangunan segera. 

 

“Hasil tunai daripada cadangan pelupusan itu akan sepenuhnya digunakan untuk mengurangkan pinjaman bank kumpulan yang seterusnya akan membantu MPB untuk memenuhi keperluan aliran tunai operasi perniagaannya. 

 

“Dalam pada itu, kos pengeluaran tahunan untuk tanah itu juga akan dapat dikurangkan,” jelas MIDF dalam satu nota kajian.

 

Dalam makluman MPB di Bursa Malaysia lewat semalam, kumpulan menerusi anak syarikat milik penuhnya, New Straits Times Properties Sdn. Bhd. (NST Properties) berhasrat untuk menjual sebidang tanah perindustrian kepada Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd. (AFES), yang merupakan anak syarikat kepada Malakoff Corporation Berhad, pada nilai RM25.0 juta.

 

Tanah itu pada awalnya diambil alih oleh NST Properties sekitar 15 tahun lalu pada nilai RM13.3 juta dan nilai bukunya setakat tahun lalu berjumlah RM11.7 juta.

 

Nilai jualan itu akan dikreditkan kepada Debt Service Reserve Account (DSRA) yang dikendalikan oleh RHB Bank Berhad.

 

Penjualan tanah itu juga dijangka meningkatkan perolehan bersih sekali bayar sebanyak RM12.1 juta kepada MPB. 

 

Pinjaman kumpulan yang bernilai RM125.5 juta setakat 31 Disember 2020 akan berkurangan kira-kira 20% dan ini seterusnya akan mendorong kepada penurunan nisbah penggearan kasar daripada 0.54x kepada 0.49x.

 

MIDF mengekalkan harga sasaran (TP) MPB pada kadar RM0.64 sesaham. - DagangNews.com