NUBE lancar kempen hapuskan bayaran pengeluaran tunai RM1 ATM, sasar kumpul sejuta tandatangan | DagangNews Skip to main content

NUBE lancar kempen hapuskan bayaran pengeluaran tunai RM1 ATM, sasar kumpul sejuta tandatangan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Dis - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) melancarkan kempen tandatangan yang bertujuan untuk menghapuskan bayaran pengeluaran tunai RM1 di ATM antara bank yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

Kempen itu bertujuan mengumpul satu juta tandatangan yang akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan, mengambil kira bayaran tersebut yang menjejaskan golongan berpendapatan rendah.

 

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, walaupun RM1 mungkin tidak kelihatan besar bagi ramai orang, jumlahnya akan bertambah dari semasa ke semasa dan boleh menjadi beban kepada golongan berpendapatan rendah.

 

"Kempen ini akan dilaksanakan secara dalam talian melalui laman web rasmi NUBE dan Change.org, serta melalui pendekatan fizikal di mana ahli-ahli NUBE akan berinteraksi dengan masyarakat di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

Jelas beliau, kempen berkenaan dilancarkan ketika majoriti rakyat Malaysia merasai tekanan kewangan. 

 

"PayNet terus meraih keuntungan berjuta-juta ringgit dengan mengenakan bayaran RM1 untuk pengeluaran ATM antara bank. 

 

"Pada tahun 2023 sahaja, PayNet melaporkan hasil kasar sebanyak RM544 juta dan keuntungan bersih sebanyak RM271 juta. Golongan kaya semakin kaya, sementara golongan miskin terus menderita," ujarnya.

 

Solomon berkata, pada masa-masa sukar seperti ini, setiap sen perlu diambil kira. 

 

Katanya, NUBE komited untuk membantu meringankan beban yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah. 

 

"Kami menggesa semua rakyat Malaysia untuk menyokong usaha ini dan membantu menjayakan kempen tandatangan ini," katanya.

 

Kempen itu mencerminkan kesungguhan NUBE dalam memperjuangkan hak pekerja dan kesejahteraan ekonomi semua rakyat Malaysia. 

 

Dengan mengumpulkan sokongan daripada orang ramai, NUBE meminta tindakan segera daripada kerajaan untuk menangani isu penting tersebut.

 

Warganegara yang ingin menyertai kempen boleh ke laman web rasmi NUBE serta laman Change.org. - DagangNews.com