KUALA LUMPUR 9 Feb - Mekanisme kawalan harga di Malaysia membuatkan bekalan makan ruji lebih rendah di negara ini dan menyebabkan harganya menjadi lebih tinggi, kata Bank Dunia.
Katanya, Malaysia mempunyai harga barang terkawal paling banyak di rantau ini.
Pakar Ekonomi Utama Bank Dunia untuk Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan, Dr. Apurva Sanghiberkata, mekanisme kawalan harga negara dan peruntukan subsidi pertanian telah mengganggu kecekapan dalam peruntukan sumber.
Bagi menyelesaikan isu kos sara hidup yang tinggi, Bank Dunia melihat keperluan mendesak bagi Kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula mekanisme kawalan harga dan subsidi pertaniannya.
Bercakap pada pelancaran Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) Bank Dunia 2023, Apurva menegaskan bahawa penggunaan tinggi kawalan harga Malaysia mungkin telah memburukkan lagi isu kos sara hidup negara.
“Negara mana di rantau ini mempunyai bilangan kawalan harga (tertinggi)? Ia adalah Malaysia.
"Kami mendapati bahawa lebih separuh daripada firma yang ditinjau yang terjejas oleh kawalan harga ini mendedahkan bahawa mereka sebenarnya mengurangkan pengeluaran mereka sebanyak satu perempat.
"Harga barangan akan meningkat sekiranya bekalan barangan semakin menyusut," kata Apurva, memetik penemuan laporan ekonomi bank itu.
Mengulas mengenai pemberian subsidi, Apurva berkata, walaupun rakyat Malaysia berbelanja lebih untuk produk bukan berasaskan beras, sebahagian besar subsidi pertanian lebih terarah kepada pengeluaran beras.
“Bayangkan anda adalah petani Malaysia dan tertakluk kepada kawalan harga, jadi apa yang dihasilkan tidak memberi hasil yang banyak dan subsidi yang diberikan pula tidak mendorong anda untuk menghasilkan apa yang diperlukan oleh pengguna.
"Langkah terbaik untuk penyelesaian jangka sederhana adalah dengan meningkatkan bekalan dengan menghapuskan sebarang gangguan dan memberikan insentif supaya bekalan terus meningkat kerana ia dapat menurunkan harga barang," katanya.
Dalam MEM 2023, Bank Dunia juga menggariskan bahawa antara 2019 dan 2021, kelaziman kekurangan makanan di Malaysia adalah pada kadar 15.4% atau bersamaan dengan 5 juta orang.
“Kekurangan kepelbagaian yang tidak mencukupi dalam pengeluaran domestik menyebabkan peningkatan import dalam kategori produk makanan, terutamanya daging, jagung, dan kacang soya.
“Ini telah memberi kesan buruk kepada golongan miskin di Malaysia,” katanya dalam laporan itu. - DagangNews.com