KUALA LUMPUR 27 Feb - Public Investment Bank (PublicInvestment) menjangkakan pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar yang diumumkan menerusi Belanjawan 2023 akan menyediakan penjimatan yang lebih besar dan melonjakkan pendapatan boleh guna isi rumah.
Firma itu berkata, menerusi penjimatan itu, kerajaan dapat memperuntukkan semula lebihan dana untuk membantu golongan yang terkesan.
Katanya, subsidi dan insentif yang disasarkan sebanyak RM64 bilion diumumkan untuk menyokong peningkatan kos sara hidup negara.
Katanya, sebagai contoh, dalam pengumuman Belanjawan 2023, kira-kira RM8 bilion akan diperuntukkan dalam bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk memanfaatkan 8.7 juta penerima melalui bantuan tunai, bakul makanan dan baucar barangan makanan ruji.
"Kerajaan dijangka terus menyediakan bantuan tunai bertujuan untuk mengatasi kenaikan kos daripada mekanisme subsidi yang disasarkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Insentif yang disediakan kerjaaan itu merangkumi kredit e-dompet sebanyak RM200-RM400 untuk dikreditkan kepada belia berumur antara 18 dan 20 tahun di bawah inisiatif eTunai Belia Rahmah.
Selain itu, kerajaan akan mengekalkan subsidi elektrik untuk semua pengguna domestik selain meneruskan pas pengangkutan awam bulanan MY50 yang akan memberi manfaat kepada 180,000 pengguna.
Pengurangan cukai yang ditawarkan kerajaan juga akan membantu dalam menyokong penggunaan domestik, di mana kerajaan berhasrat mengurangkan cukai pendapatan peribadi sebanyak 2% bagi mereka yang berpendapatan antara RM35,000 hingga RM100,000, yang seterusnya akan memanfaatkan lebih 2.4 juta pembayar dan menghasilkan pendapatan boleh guna tambahan sebanyak RM1,300 seorang.
Firma itu berkata, Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) akan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi, dengan peruntukan RM750 juta, untuk membantu golongan miskin memperoleh pendapatan sehingga RM2,500 sebulan selama 24 bulan.
"Bagi usaha mencipta kerjaya menyokong penciptaan pekerjaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dijangka menawarkan 35,000 peluang pekerjaan untuk belia, graduan TVET, veteran dan kumpulan lain yang terdedah.
"Di samping itu, geran padanan RM290 juta diperuntukkan untuk menggalakkan 130,000 wanita kembali bekerja selepas melahirkan anak.
"Sejumlah RM40 juta juga akan diperuntukkan untuk meningkatkan kemahiran kira-kira 30,000 pekerja gig, bagi meningkatkan produktiviti dan prospek pendapatan yang lebih baik," katanya. - DagangNews.com