Membentuk minda keusahawanan dengan kaedah berkesan | DagangNews Skip to main content

Membentuk minda keusahawanan dengan kaedah berkesan

Saya sesuai untuk perniagaan apa? Jual nasi ayam pun sangat bagus!
Oleh Prof Dr Abdol Samad Nawi

PADA dasarnya banyak pihak yang berkepentingan dalam perkembangan keusahawanan masih lagi tercari-cari kaedah yang berkesan dalam memupuk minda keusahawanan dalam kalangan masyarakat terutama para graduan.

 

Teori yang berasaskan kesan ini diperkenalkan oleh Saras. D. Sarasvathy, seorang penyelidik keusahawanan dari Amerika Syarikat.

 

Apakah yang dimaksudkan pemikiran yang berkesan? Lawan daripada “pemikiran berkesan” ialah “pemikiran bersebab”.

 

Kita ambil contoh yang mudah untuk menerangkan dua pendekatan di atas. Apabila ditanya seorang ibu, "Nak masak apa hari ini?", maka ibu itu menjawab, "Saya nak masak sup ayam" di mana beliau menentukan terlebih dahulu jenis masakan tanpa melihat sumber sumber yang ada.

 

Kemudian setelah mendapat idea untuk memasak sup ayam, si ibu akan mencari bahan apa yang diperlukan untuk membuat masakan tersebut.

 

Setelah membuka peti ais dan melihat isinya, "Wah, ayam tak ada, garam dah habis", maka beliau terpaksa membeli bahan tersebut terlebih dahulu. Ini adalah yang dikatakan “pemikiran bersebab” yang akhirnya si ibu tadi gagal memasak.

 

Berfikir secara berkesan pula adalah berbeza. “Pemikiran berkesan” secara mudahnya digambarkan apabila si ibu tadi melihat terlebih dahulu apa bahan-bahan masakan yang ada di dalam peti ais dan dapur.

 

Beliau kemudiannya mengumpulkan bahan-bahan yang ada dan mula memikirkan apa jenis masakan yang boleh dihasilkan berasaskan bahan tadi.


 

parafrasa

 


Justeru itu, pelbagai jenis masakan dapat dihasilkan daripada rempah ratus dan bahan-bahan sedia ada yang telah dikumpulkan oleh si ibu berbanding dengan membuat penetapan awal untuk memasak sup ayam. Konsep ini dinamakan pemikiran yang berkesan.

 

Justeru, kembali kepada persoalan asas keusahawanan yang sering ditanya oleh sesiapa yang ingin membentuk minda keusahawanan, “Saya sesuai untuk perniagaan apa?”.

 

Secara amnya orang yang paling arif mengenai perkara tersebut adalah dirinya sendiri berbanding dengan mendapat pandangan dari orang lain.

 

"Anda memang sesuai untuk perniagaan dalam bidang ini, contohnya, atau dalam bidang itu", maka dia akan mencuba menceburkan diri dalam perniagaan tersebut.

 

Proses ini adalah sama untuk mencari barang yang hilang, atau kita seperti mencari cari kekuatan baru.


 

parafrasa
Guna kreativiti hasilkan kraftangan yang ada nilai komersial.

 


Namun jika dia misalnya tahu apa yang dia ada, apa yang dia sudah boleh berbuat, maka dia boleh segera memulakan perniagaan tanpa perlu berlengah-lengah dengan lapang dada.

 

Ini adalah prinsip berkesan yang paling asas bagi pembentukan minda keusahawanan berkesan.

 

Jadi maksudnya, berfikirlah dengan bermula dari diri sendiri. Bukan melihat dari luar kita. Seterusnya, kita akan membincangkan satu per satu prinsip pemikiran berkesan.

 

Prinsip asas dalam pendekatan di atas ialah "Setiap manusia mempunyai potensi atau kekuatan diri tersembunyi masing-masing untuk berjaya, dan hanya keberanian dan daya tahan atau pantang menyerah kalah akan membawa semua pengalaman pahit dalam keusahawanan menjadi manis pada masa hadapan".

 

Di sini dapat kita sama-sama lihat bahawa kekuatan terbesar dalam menghadapi cabaran luaran dalam memiliki minda keusahawanan ialah keperibadian dalaman seseorang.

 

Secara logiknya, walau sebesar mana pun cabaran dan halangan yang melanda, sekiranya seorang usahawan itu sudah mempunyai persiapan rapi, hebat, tabah, bijak, sabar dan optimis, maka dia pasti mampu mengharungi peristiwa berat dan getir ini.

 

Prinsip ini boleh dibaca dalam buku buku dari tajuk Keusahawanan Berkesan (Effectuation Entrepreneurial). Kemudian terdapat juga sebuah buku bertajuk Effectuation yang ditulis oleh Prof Dr Saras D. Sarasvathy.


 

saras
                                               Prof Dr Saras D. Sarasvathy

 


Teori ini masih agak baru dan teori ini adalah berasaskan dari penyelidikan yang menemubual beberapa usahawan yang berjaya.

 

Prinsip-prinsip bersesuaian untuk diguna pakai pada peringkat permulaan pembentukan minda keusahawanan kerana cara pemikiran awal yang sesorang usahawan perlukan adalah berbeza dari pemikiran seorang pengurus besar yang mengendalikan sebuah perusahaan besar di mana mereka tertakluk pada sasaran yang besar, tetapi cukup sekadar mereka boleh menghasilkan sesuatu kerana mereka mempunyai modal dan keutamaan dalaman.

 

Prinsip keusahawanan berkesan (effectual entrepreneur) ini adalah merupakan suatu prinsip pelaksana di mana kita seharusnya dapat menguruskan sumber yang kita ada untuk mengembangkan perniagaan sedia ada.

 

Semoga apa yang saya sampaikan dapat memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem keusahawanan. – DagangNews.com

 

Prof Dr Abdol Samad Nawi adalah Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA