KUALA LUMPUR 4 Okt - Menang Corporation (M) Berhad menerusi Menang Development (M) Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama Zillion Sdn. Bhd. bagi mengambil alih dua lot tanah kosong berjumlah RM576,000 di Seremban, Negeri Sembilan.
Pada masa sama, Menang Development akan menjual hartanah yang terletak di atas dua lot tanah di Rasah, Negeri Sembilan berharga RM576,000 sebagai penyelesaian pertimbangan.
Kumpulan itu berkata, pertimbangan pembelian dan pertimbangan pelupusan bagi pertukaran tanah sudah dipersetujui berdasarkan penjual dan pebeli bersedia dengan mengambil kira lokasi strategik harta diperoleh.
"Ia membolehkan kumpulan itu dan anak-anak syarikatnya menggabungkan dan menambah sumber tanah," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Katanya, harta yang diperoleh akan meningkatkan simpanan tanah kumpulan dengan potensi pertumbuhan untuk meningkatkan portfolio pembangunan hartanah Kumpulan, daripada itu mencipta nilai kepada mereka.
Pertukaran tanah tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih sesaham dan penggearan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024. - DagangNews.com