Mercury Securities saran 'langgan' saham Ocean Fresh, FV 54 sen | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities saran 'langgan' saham Ocean Fresh, FV 54 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jun - Mercury Securities memberikan saranan 'langgan' terhadap Ocean Fresh Bhd dengan harga wajar (FV) 54 sen sesaham.

 

Katanya, kumpulan itu dinilai dengan pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak lapan kali, diterjemahkan kepada kenaikan harga 91% kepada harga tawaran awam permulaan (IPO).

 

Firma penyelidikan itu berkata, sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PE) adalah pada diskaun 20% kepada purata rakan setaranya, memandangkan modal pasaran kumpulan itu yang lebih kecil.

 

Mercury berkata, walaupun hasil FY24 kumpulan itu berkemungkinan tidak berubah (disebabkan oleh kekangan penyimpanan), mereka menjangkakan pendapatan Ocean Fresh kembali normal kepada RM9.8 juta tanpa kehadiran beberapa item yang memberi kesan kepada pendapatan tahun sebelumnya.

 

"Ocean Fresh sebelum ini telah menyediakan hapus kira hutang lapuk yang lebih besar dan kerugian rosot nilai bersih penghutangnya pada FY23 (walaupun kutipan adalah baik, dengan 80% terkumpul dikutip setakat Mei 2024).

 

"Syarikat itu juga menanggung yuran profesional sekali sahaja yang besar pada 2023 untuk penyenaraian IPO,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mempunyai kunci kira-kira yang sihat dengan kedudukan tunai bersih positif.

 

“Syarikat tidak bercadang untuk menerima pakai dasar pembayaran dividen rasmi.

 

"Bagaimanapun, kami meramalkan nisbah pembayaran yang sederhana iaitu sekitar 30% dengan mengambil kira kumpulan itu mungkin memerlukan modal kerja tambahan bagi menyokong tahap pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi bermula FY25 dan seterusnya," katanya.- DagangNews.com