KUALA LUMPUR 26 Julai - Mercury Security memberikan saranan 'langgan' terhadap EPB Group Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Ogos 2024 dengan harga wajar (FV) 75 sen sesaham.
Saranan itu adalah berdasarkan 16x pendapatan sesaham (EPS) FY25 yang mencadangkan potensi peningkatan sebanyak 34% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO).
Katanya, nisbah harga kepada pendapatan (PE) adalah lebih rendah daripada purata PE setara global sebanyak 17.1x selepas mengambil kira permodalan pasaran EPB yang jauh lebih kecil tetapi diimbangi pertumbuhan pendapatan kukuh.
"Kami menyukai saham itu kerana pendedahan strategiknya kepada pasaran yang berkembang pesat seperti Filipina dan Indonesia, serta kunci kira-kira yang kukuh dengan kedudukan tunai bersih yang stabil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu berjaya mengekalkan margin kasar yang stabil antara 33% hingga 34% sepanjang empat tahun lalu disebabkan pengurusan kos yang berkesan, strategi penetapan harga pintar dan penyesuaian tinggi bagi rumusan mesin pemprosesan makanan.
Katanya, selepas pandemic COVID-19, EPB mengalami lonjakan dalam jualan jentera pada FY21 dan FY22, tetapi tanpa peningkatan ketara dalam perbelanjaan jualan dan pengedaran.
"Ia ditambah dengan kadar cukai berkesan yang lebih rendah, membawa kepada margin untung bersih yang lebih tinggi pada FY21 dan FY22.
"Memandang ke hadapan, kami menjangkakan margin untung bersih EPB stabil sekitar 11% hingga 12% bagi FY24 hingga FY26," katanya.
Menerusi tawaran awam permulaan (IPO), kumpulan itu akan menerbitkan sejumlah 71.57 juta saham baharu termasuk tawaran penjualan 40 juta saham sedia ada oleh pemegang saham EPB kepada pelabur terpilih, serta pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui penempatan persendirian bagi mengumpulan dana sebanyak RM40.08 juta
Daripada RM40.08 juta yang diperoleh daripada terbitan saham baharu itu, RM24.6 juta akan digunakan untuk pembesaran kilang, RM10.5 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM8.48 juta untuk modal kerja, dan baki RM4 juta untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com