Mesiniaga raih kontrak infrastruktur ISP RM49 juta daripada Measat | DagangNews Skip to main content

Mesiniaga raih kontrak infrastruktur ISP RM49 juta daripada Measat

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Mesiniaga Berhad telah meraih kontrak daripada Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. melibatkan pembekalan dan pentadbiran infrastruktur utama Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP). 

 

Perjanjian kontrak itu telah ditandatangani pada 1 Oktober lalu yang bernilai RM49.3 juta, menurut makluman Mesiniaga kepada Bursa Malaysia, hari ini. 

 

“Tempoh kontrak ini bermula 30 September 2021 hingga 28 Februari 2027. Tiada klausa dalam kontrak ini mengenai pembaharuan automatik.

 

“Risiko yang berkaitan terutamanya melibatkan pemenuhan terma tahap komitmen perkhidmatan dan tarikh tamat tempoh yang ditetapkan oleh pelanggan (Measat). 

 

“Syarikat akan mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengurangkan risiko tersebut,” jelas Mesiniaga.

 

Tambah Mesiniaga, kontrak itu dijangka tidak akan mendatangkan impak ke atas modal saham dan pegangan saham oleh pemegang ekuiti utama syarikat. 

 

Namun, katanya, ia dijangka memberi sumbangan positif kepada perolehan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dan seterusnya sehingga tamat tempoh kontrak tersebut.

 

Dalam makluman lain Mesiniaga kepada Bursa Malaysia, kumpulan turut memeterai perjanjian pembekalan RGW dan Router MESH Wi-Fi kepada Measat.

 

Kata Mesiniaga, kontrak itu menggariskan nilai minimum daripada RM4.1 juta hingga jumlah maksimum RM114.8 juta yang tertakluk kepada pesanan pembelian oleh Measat mengikut keperluan perniagaan. 

 

Kontrak ini bermula dari 30 September 2021 hingga 29 September 2026.

 

Mesiniaga ditubuhkan pada tahun 1981 dan terlibat dalam perniagaan teknologi selama empat dekad.

 

Ketika laporan ditulis, harga saham Mesiniaga menokok 7 sen kepada RM1.60. - DagangNews.com