MGB terima kontrak bernilai RM189 juta daripada Kemudi Ehsan bina perbandaran baharu di Ijok | DagangNews Skip to main content

MGB terima kontrak bernilai RM189 juta daripada Kemudi Ehsan bina perbandaran baharu di Ijok

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - MGB Bhd menerusi MGB Construction & Engineering Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM189.35 juta daripada Kemudi Ehsan Sdn Bhd bagi pembangunan perbandaran baharu di Ijok, Kuala Selangor.

 

Kumpulan dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pembangunan itu akan dilaksanakan dalam lima fasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan.

 

Katanya, fasa pertama pembangunan itu melibatkan pembinaan 38 unit rumah teres setingkat kos rendah, 96 unit kilang dua tingkat, tujuh unit pencawang elektrik, satu stesen suis utama dan satu kolam tadahan manakala fasa kedua adalah bagi 38 unit kilang berkembar tiga tingkat dan unit pencawang elektrik.

 

"Fasa ketiga pula melibatkan pembinaan 40 unit kilang berkembar tiga tingkat manakala bagi fasa keempat, kumpulan itu akan membina 38 unit kilang berkembar tiga tingkat dan dua unit pencawang elektrik. 

 

"Bagi fasa terakhir, kumpulan itu akan membangunkan 64 unit teres perindustrian kos rendah satu tingkat," katanya.

 

Kontrak itu akan meningkatkan buku pesanan sedia ada syarikat dan menjadikan buku pesanan tertunggak semasa adalah kira-kira RM1.38 bilion.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan syarikat tetapi  dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham sepanjang tempoh kontrak.- DagangNews.com