MGRC Biopharma dilantik sebagai pengedar produk terapi sel BioMab bagi tempoh dua tahun | DagangNews Skip to main content

MGRC Biopharma dilantik sebagai pengedar produk terapi sel BioMab bagi tempoh dua tahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Sept - Malaysia Genomics Resource Centre Bhd menerusi MGRC Biopharma Sdn Bhd memeterai perjanjian pengedaran bersama BioMab Inc bagi mengedarkan produk terapi sel di Malaysia. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pengedaran itu termasuk sebarang produk penyelidikan tambahan yang akan dipersetujui kedua-dua pihak.

 

Katanya, tertakluk kepada undang-undang, peraturan dan dasar negara yang berkaitan, BioMab akan melantik MGRC Biopharma sebagai pengedarnya bagi mengedar serta menjual produk kepada pelanggan dan pengedar lain di Malaysia sepanjang tempoh perjanjian.

 

"Perjanjian itu adalah selama dua tahun dan pihak berkaitan boleh menamatkan kontrak itu dengan memberikan notis bertulis penamatan kepada pihak satu lagi dalam tempoh 90 hari.

 

"Perjanjian itu membolehkan MGRC Biopharma mengembangkan kebolehpasaran produk dalam industri penjagaan kesihatan, dan dengan itu dijangka meningkatkan hasil kumpulan pada masa hadapan," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, perjanjian itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan berbayar MGRC tetapi dijangka menyumbang secara positif ke arah pendapatan masa hadapan kumpulan MGRC.- DagangNews.com