MIDF Research jangka harga simen akan terus meningkat kesan kenaikan harga arang batu, surcaj elektrik | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka harga simen akan terus meningkat kesan kenaikan harga arang batu, surcaj elektrik

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - MIDF Research menjangkakan harga simen akan terus mencatatkan peningkatan terutamanya di Semenanjung Malaysia disebabkan kenaikan harga arang batu dan kesan surcaj elektrik yang lebih tinggi bermula Januari hingga Jun 2023.

 

Firma itu berkata, pengeluar simen tunggal di Sarawak iaitu Cahya Mata Sarawak menaikkan harga secara purata 10% pada Februari 2022 buat kali pertama dalam tempoh enam tahun.

 

Katanya, syarikat itu juga tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menaikkan lagi harga bahan itu sebaliknya berhasrat untuk memberi tumpuan kepada meningkatkan kecekapan kilang, pemerolehan dan pengaturan logistik untuk mendapatkan margin keuntungan yang lebih baik.

 

"Penurunan berterusan dalam harga bar keluli kekal sebagai perkembangan positif bagi segmen pembinaan kerana telah menerima tekanan harga yang lebih tinggi sejak dua tahun lalu apabila harga bar keluli meningkat selama 19 bulan berturut-turut kepada kemuncaknya RM3,901.81 satu tan pada Jun 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa indeks harga seunit simen meningkat 1.5% pada Disember 2022 berbanding November 2022 dan mencatatkan peningkatan dua bulan berturut-turut.

 

Firma itu berkata, harga simen berada pada purata RM21.04 setiap beg 50kg pada Disember 2022 peningkatan 0.3% daripada RM20.98 pada Novermber 2022 dan ia merupakan kenaikan bulan kedua berturut-turut.

 

Katanya, kenaikan itu disebabkan oleh peningkatan di Semenanjung sebanyak 1.8% dari bulan ke bulan kepada RM18.73.

 

"Bahagian pantai timur mencatatkan kenaikan paling banyak iaitu 3.6% dari bulan ke bulan kepada RM19.92. Di Sabah dan Sarawak, harga purata menyaksikan penurunan kecil sebanyak 0.4% kepada RM22.19, berikutan penurunan sebanyak 1.1% di Kota Kinabalu dan Sandakan.

 

"Harga simen di Tawau, Kuching, Sibu dan Miri kekal tidak berubah," katanya.

 

Firma itu bagaimanapun kekal positif terhadap segmen pembinaan dan menyifatkan kenaikan kos itu masih boleh dikawal.

 

Katanya, isu kekurangan buruh asing juga semakin berkurangan, yang akan terus bertambah baik kerana kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat pengambilan pekerja asing dan memendekkan proses. - DagangNews.com