MIDF Research jangka kadar OPR cecah 3.00% pada separuh pertama 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka kadar OPR cecah 3.00% pada separuh pertama 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mac - MIDF Research yakin bahawa tumpuan semasa penetapan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) adalah bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

 

Firma itu berkata, dengan trend inflasi teras yang semakin meningkat dan permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan, kami menjangkakan bank pusat akan memulihkan kadar dasar semalam (OPR) kepada 3.00% pada separuh pertama 2023.

 

Firma itu berpendapat bahawa, bank pusat akan menormalkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 2.00% kepada 3.00% tahun ini.

 

"Kadar SRR dikurangkan kepada 2.00% sejak Mac 2020.

 

"Bagaimanapun, keputusan itu akan tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan penambahbaikan lagi dalam keadaan makroekonomi, terutamanya pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan permintaan domestik yang semakin meningkat.

 

"Dalam jangka sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan peningkatan lagi dalam keberhutangan isi rumah," katanya.

 

BACA JUGA: Tiada kenaikan, Bank Negara Malaysia kekal OPR pada 2.75%

 

Terdahulu, BNM mengekalkan OPR pada 2.75%, dalam Mesyuarat Dasar Monetari keduanya pada 2023.

 

Dalam Penyata Dasar Monetari, BNM menekankan bahawa ekonomi global terus tertekan oleh peningkatan ketegangan geopolitik, tekanan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan dan pengetatan keadaan pasaran kewangan yang lebih ketara.

 

Bank pusat di seluruh dunia akan terus melaksanakan dasar monetari menguncup walaupun dengan kadar yang lebih perlahan untuk menguruskan tekanan inflasi terutamanya didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.

 

BNM juga meramalkan inflasi utama dan teras kepada sederhana tetapi kekal pada paras tinggi dalam keadaan permintaan dan tekanan kos yang berlarutan.

 

Tekanan inflasi semasa sebahagiannya diserap oleh kawalan harga sedia ada dan subsidi bahan api. - DagangNews.com