MIDF Research kekal 'neutral' terhadap sektor teknologi, jangka pemulihan kekal perlahan pada suku keempat 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal 'neutral' terhadap sektor teknologi, jangka pemulihan kekal perlahan pada suku keempat 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - MIDF Research kekal 'neutral' terhadap sektor teknologi dan menjangkakan kadar pemulihan kekal perlahan pada suku keempat tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu dapat dilihat dalam kadar pemulihan jualan semikonduktor global yang perlahan serta pasaran akhir seperti jualan telefon pintar.

 

Katanya, jualan semikonduktor global pada Julai tahun ini adalah sebanyak AS$43.2 bilion menunjukkan bahawa jualan cip di seluruh dunia kekal menurun (-11.8% dari tahun ke tahun) berbanding tahun lepas.

 

Bagaimanapun, ini merupakan kadar penurunan paling perlahan yang dilihat sejak awal tahun.

 

"Kami menjangkakan momentum pemulihan yang perlahan tetapi stabil akan berterusan pada suku keempat 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Berdasarkan data International Data Corporation (IDC), penghantaran telefon pintar di seluruh dunia merosot sebanyak 6.8% kepada 268 juta unit pada suku kedua tahun ini. 

 

Selaras dengan aliran yang dilihat dalam jualan semikonduktor global, adalah wajar diperhatikan bahawa kadar penurunan adalah perlahan berbanding suku sebelumnya (-14.6%).

 

"Ia berpotensi menjadi positif menjelang akhir tahun dan 2024 dengan keluaran telefon pintar model baharu seperti iPhone 15 yang diumumkan pada September 2023," katanya.

 

Sementara itu, MIDF berkata, China mengumumkan sekatan ke atas eksport lapan galium dan enam produk germanium mulai 1 Ogos 2023. Ia berkisar kepada akses kepada bahan yang digunakan dalam membuat cip mikro berteknologi tinggi.

 

Di bawah peraturan baharu itu, pengeksport produk germanium dan galium kini perlu mendapatkan lesen eksport untuk barangan dan teknologi dwi-guna, bermakna mereka yang mempunyai aplikasi ketenteraan dan awam yang berpotensi.

 

Katanya, ia menandakan bahawa ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China tidak akan reda dalam masa terdekat.

 

Dalam hal ini, MIDF Research menjangkakan syarikat semikonduktor tempatan akan terus mendapat manfaat daripada strategi "China tambah satu" yang sedang berjalan.

 

"Ini terutamanya bagi syarikat yang mempunyai kehadiran pembuatan di Malaysia dan China seperti Unisem, MPI dan Inari," katanya. - DagangNews.com