MIDF Research kekal unjuran eksport, import masing-masing pada 9.2%, 9.5% tahun ini | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal unjuran eksport, import masing-masing pada 9.2%, 9.5% tahun ini

KUALA LUMPUR 20 Mac - MIDF Research mengekalkan unjuran bagi pertumbuhan eksport dan import Malaysia masing-masing sebanyak 9.2% dan 9.5% pada tahun ini, dipacu oleh peningkatan dalam jumlah perdagangan pada Februari 2023.

 

Firma itu berkata, jumlah perdagangan Malaysia meningkat 11% tahun ke tahun kepada RM205 bilion pada Februari 2023, kekal melepasi paras RM200 bilion untuk bulan ke-12 berturut-turut dan berkembang untuk bulan ke-27 sejak Disember 2020.

 

“Memperluaskan  permintaan luar untuk elektrik dan elektronik (E&E) dan komoditi, khususnya petroleum dan minyak sawit, akan terus memacu pertumbuhan eksport tahun ini. 

 

"Bagaimanapun, prestasi perdagangan komoditi akan tertakluk kepada kesan harga kerana harga semasa secara relatifnya lebih rendah berbanding tahun lepas.

 

“Sementara itu, kami menjangkakan peningkatan eksport ke China akan menyokong perdagangan dalam beberapa bulan akan datang  kerana Malaysia akan mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi China,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Selain itu, firma itu berkata, perdagangan dengan negara-negara perjanjian perdagangan bebas (FTA) juga akan berkembang, dirangsang oleh ratifikasi perjanjian perdagangan  iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi  Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

 

"Namun begitu, kami berpendapat beberapa risiko terhadap prospek perdagangan boleh tercetus daripada permintaan global yang lebih lemah, inflasi yang tinggi, dasar yang ketat serta kemungkinan peningkatan semula dalam ketegangan geopolitik dan perdagangan," katanya. - DagangNews.com