KUALA LUMPUR 1 Mac - MIDF Research mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara (KDNK) Malaysia berkembang pada paras 4.2% tahun ini.
Firma itu menjangkakan ekonomi negara akan berkembang secara sederhana pada tahap 4.2% berbanding 8.7% pada 2022.
Katanya, perkembangan berterusan dalam permintaan domestik adalah penting untuk menyokong pertumbuhan tahun ini dengan mengambil kira pertumbuhan yang lebih lemah dalam perdagangan luar berikutan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan.
"Secara khususnya, peralihan ke arah perkhidmatan telah membawa kepada kelemahan pembuatan barangan di peringkat global.
"Ia dilihat menjadi punca kepada kelemahan pengeluaran dan tempahan baharu di peringkat global seperti dalam laporan Indeks Pengurus Pembelian (PMI)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, sektor pembuatan Malaysia menunjukkan tanda-tanda momentum positif pada Februari 2023, dengan PMI pembuatan S&P Global Malaysia yang diselaraskan secara bermusim meningkat kepada 48.4 daripada 46.5 pada Januari, mencatat bacaan tertinggi dalam tempoh empat bulan.
S&P Global berkata, data mengenai output dan pesanan baharu pada Februari 2023 menandakan keadaan yang lebih baik berbanding Januari 2023, mendorong aktiviti pembelian hampir stabil dan pengekalan bilangan tenaga kerja.
Keinginan dalam kalangan firma untuk mengurangkan kerja tertunggak juga berlaku, jelasnya sambil menambah bahawa bulan yang disemak juga menyaksikan penyingkatan masa utama pembekal yang paling besar sejak Mac 2013, manakala tekanan inflasi kekal secara relatif.
Selain itu, firma itu berkata, komitmen kerajaan dengan rancangan perbelanjaan fiskal pengembangan untuk 2023 juga akan meningkatkan pertumbuhan tahun ini.
Dari segi luaran, pembukaan semula ekonomi China dan ketibaan pelancong yang lebih tinggi akan menyokong sektor perdagangan dan pelancongan domestik.
"Kami menjangkakan menjangkakan peningkatan perdagangan dengan ahli Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) berikutan ratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongisan Trans-Pasifik (CPTPP) akan menyokong prospek bagi sektor berorientasikan perdagangan.
"Risiko seperti kelembapan pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, inflasi yang tinggi, turun naik dalam pasaran kewangan dan ketegangan geopolitik yang diperbaharui akan mengheret prospek pertumbuhan tahun ini," katanya. - DagangNews.com