MIDF Research kekal unjuran pertumbuhan KDNK menyusut kepada 4.2% pada 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal unjuran pertumbuhan KDNK menyusut kepada 4.2% pada 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Feb - MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyusut kepada 4.2% pada 2023 selepas perkembangan cemerlang sebanyak 8% pada tahun lalu.

 

Firma itu berkata, permintaan domestik akan menjadi pemacu utama pertumbuhan, berbeza dengan jangkaan kesederhanaan dalam perdagangan luar kerana ekonomi terbuka seperti Malaysia akan terjejas oleh pertumbuhan global yang lebih lemah.

 

Firma itu juga berpendapat bahawa situasi politik domestik akan meningkatkan keyakinan pelabur dan memberi kesan positif kepada ekonomi.

 

"Pembukaan semula ekonomi China dan ketibaan pelancong yang lebih tinggi juga akan menyokong perdagangan domestik dan industri pelancongan.

 

"Walaupun unjuran kami mengandaikan Malaysia akan dapat mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang positif tahun ini, antara risiko penurunan yang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan 2023 termasuk inflasi tinggi yang berpanjangan, kelembapan permintaan global yang lebih tajam daripada jangkaan, dan ketegangan geo-politik dan perdagangan yang meningkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Indeks Peneraju (LI) Malaysia merosot sebanyak 0.4% pada November 2022 (Oktober 2022: +0.4%), penguncupan tahunan pertama pertumbuhan enam bulan berturut-turut.

 

Penguncupan itu disebabkan oleh pengurangan dalam penawaran wang (M1), indeks industri Bursa Malaysia, unit perumahan yang diluluskan, nilai jangkaan jualan pembuatan dan pendaftaran baharu syarikat. 

 

Pada asas bulan ke bulan, LI meningkat semula +0.8% dari bulan ke bulan selepas dua bulan mencatatkan penguncupan.

 

Peningkatan bulanan itu memberi gambaran yang lebih optimis terhadap prospek jualan pembuatan dan peningkatan dalam import sebenar logam berharga dan bukan ferus asas lain, pendaftaran syarikat dan import semikonduktor.

 

Walaupun LI semakin stabil pada asas bulanan, indeks semasa (CI) juga bertambah baik, meningkat +0.1% dari bulan ke bulan atau +5.5% tahun ke tahun selepas 2021. - DagangNews.com