KUALA LUMPUR 1 Ogos - MIDF Research kekal positif terhadap sektor perbankan dengan menjangkakan ia akan terus mengalami pertumbuhan sederhana dari segi pinjaman bagi 2HCY22.
Firma itu berkata, kenaikan kadar dasar semalam (OPR) pada masa hadapan akan terus membantu sektor itu untuk terus berkembang.
Katanya, perkembangan pinjaman hampir memuncak dan pada Jun 2022, perkembangan pinjaman melonjak sebanyak 5.6% dengan pinjaman perumahan dan pinjaman modal kerja menjadi penyumbang utama kepada sektor itu.
"Perkembangan pinjaman mungkin sudah memuncak pada 2022 selepas petunjuk utama memberi gambaran yang lemah pada bulan sebelumnya.
"Kami mengurangkan jangkaan pinjaman sistem 2022 kepada antara 4.5% hingga 5.0% dengan pertumbuhan pada separuh kedua dijangka berada pada paras sederhana kerana tekanan inflasi serta kadar faedah yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Firma itu berkata, pinjaman runcit mencatatkan peningkatan sebanyak 6.5% dengan pinjaman perumahan dan sewa beli menjadi pemacu utama di dalam sektor itu.
Katanya, pembiayaan kad kredit terus mencatatkan perkembangan positif, melonjak kepada 12.6% dipacu oleh peningkatan perbelanjaan pengguna.
"Berikutan penamatan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kami terus menjangkakan pertumbuhan sederhana untuk separuh kedua 2022.
Firma itu berkata, pinjaman perniagaan juga terus mencatatkan perkembangan positif dengan perkembangan sebanyak 5.0% dengan pinjaman bukan perumahan, modal kerja dan pinjaman sekuiriti menjadi pemacu utama.
"Pembukaan semula sempadan antarabangsa selain pemulihan aktiviti dagangan, kami menjangkakan sumbangan pinjaman perniagaan akan mengimbangi sumbangan pada setengah tahun lalu," katanya. - DagangNews.com