KUALA LUMPUR 22 Feb - MIDF Research positif terhadap prospek Globetronics Technology Berhad didorong oleh kecekapan operasi syarikat dalam teknologi penderia termaju yang digunakan dalam pelbgai industri.
Firma itu menjangkakan, kumpulan itu merekodkan pendapatan yang lebih stabil pada masa hadapan selaras dengan peningkatan permintaan penderia pintar dalam semua segmen.
"Selain itu, peningkatan semula dalam sektor automotif akan memberi kesan positif kepada perniagaan LED kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih kumpulan itu menyusut sebanyak 14% kepada RM45.46 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding RM52.94 juta pada tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan itu juga menyusut kepada RM180.05 juta daripada RM206.04 juta.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22), kumpulan itu merekodkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM12.05 juta berbanding RM17.89 juta kesan pemuatan volum yang lebih rendah daripada pelanggan dan tukaran mata wang asing yang lebih rendah dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi.
Firma itu berkata, pendapatan normal FY22 berjumlah RM41.9 juta, memenuhi konsensus tetapi melebihi jangkaan dan menyumbang 100% dan 132% daripada anggaran pendapatan masing-masing.
Secara keseluruhan, pendapatan FY22 lebih rendah pada RM41.9 juta disebabkan oleh volum pemuatan yang lebih rendah.
"Jualan dari segmen Asia Tenggara merosot kepada RM173.9 juta pada FY22 berbanding RM196.7 juta pada FY21.
"Sementara itu, segmen Amerika Utara mencatatkan penguncupan jualan sebanyak 37% kepada RM5.7 juta pada FY22 daripada RM9.1 juta pada FY21," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.31 sesaham. - DagangNews.com