MIDF Research positif terhadap prospek jangka panjang Unisem | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap prospek jangka panjang Unisem

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Okt - MIDF Research positif dengan prospek jangka panjang Unisem (M) Berhad kerana kumpulan itu memiliki portfolio produk yang luas selain segmen pasaran yang berbeza.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu memiliki ramai pelanggan yang terdiri daripada syarikat multinasional, pengeluar peranti bersepadu (IDM) dan firma reka bentuk dari pelbagai lokasi berbeza.

 

Selain itu, kumpulan itu juga tidak berdepan sebarang risiko sekiranya berlaku penurunan mendadak dalam permintaan bagi mana-mana segmen pasaran.

 

"Kami menjangkakan, mereka berpotensi untuk mencatatkan peningkatan eksponen dalam penggunaan cip dalam teknologi kebendaan (IoT), kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan pemanduan autonomi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih Unisem untuk suku ketiga berakhir 30 September 2022 (3QFY22) melonjak 53.3% kepada RM61.73 juta berbanding RM40.27 juta bagi suku sama tahun lalu.

 

Pendapatan bagi suku tersebut meningkat kepada RM439.69 juta daripada RM366.36 juta pada tahun sebelumnya.

 

Bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 30 September 2022, keuntungan bersih Unisem melonjak kepada RM318.28 juta daripada RM140.32 juta dengan hasil RM1.33 bilion berbanding RM1.14 juta.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan itu selaras dengan jangkaan awal.

 

Bagaimanapun, firma itu kekal berhati-hati dengan risiko sekatan berpanjangan di China, ketegangan geopolitik dan kesan daripada peningkatan kadar faedah akibat tekanan inflasi.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM3.72, lebih rendah berbanding RM4.07 sebelum ini. - DagangNews.com