MIDF Research positif terhadap prospek jualan Glomac bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap prospek jualan Glomac bagi FY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Dis - MIDF Research kekal positif terhadap Glomac Berhad kerana prospek jualan baharunya yang positif yang disokong oleh strateginya untuk menjual hartanah dalam julat harga mampu milik.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mencatatkan jualan baharu RM106 juta pada 1HFY23, disumbangkan oleh pelancaran hartanah di Bandar Saujana Utama, 121 Residences, Lakeside Residences dan Plaza @ Kelana Jaya.

 

Firma itu menjangkakan, kumpulan itu akan mencatatkan jualan baharu yang lebih tinggi pada FY23 berbanding jualan baharu RM160 juta yang dicapai pada FY22.

 

"Jualan baharu pada 2HFY23 dijangka disokong oleh pelancaran projek baharu dan penjualan projek yang sedang dijalankan iaitu Plaza @ Kelana Jaya dan 121 Residences.

 

"Selain itu, potensi pengewangan inventori juga boleh membantu dalam menyokong pertumbuhan jualan baharu pada FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu merancang pelancaran dengan jumlah pembangunan kasa (GDV) RM510 juta untuk 2HFY23 termasuk fasa satu GreenTec di Puchong dengan GDV sebanyak RM340 juta.

 

Katanya, GreenTec merupakan pembangunan kediaman bersepadu baharu di Puchong dengan jumlah GDV sebanyak RM1.57 bilion.

 

Firma itu berkata, fasa satu GreenTec dijangka dilancarkan pada 4QFY23 sementara menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa.

 

Katanya, kumpulan itu menyasarkan untuk melancarkan 980 unit SOHO dan pangsapuri servis dengan saiz purata antara 450 kaki persegi – 750 kaki persegi pada harga purata RM350,000 seunit.

 

"Sementara itu, pelancaran lain untuk 2HFY23 termasuk teres dua tingkat di Suajana KLIA dengan GDV RM100 juta dan pangsapuri bertingkat tinggi mampu milik di Lakeside Residence dengan GDV RM70 juta," kataya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 48 sen sesaham. - DagangNews.com