MIDF Research positif terhadap sektor perbankan didorong pendapatan bukan faedah lebih baik | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap sektor perbankan didorong pendapatan bukan faedah lebih baik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - MIDF Research mengekalkan saranan positif terhadap sektor perbankan didorong pendapatan bukan faedah (NOII), pinjaman lebih baik dan perkembangan deposit yang dijangka mengimbangi potensi gangguan aset kualiti.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan berlakunya isu aset kualiti tetapi kesan negatif perkara itu hanya akan memberi kesan yang lebih besar kepada bank-bank kecil.

 

"Pemacu positif seharusnya merangkumi NOII, pinjaman dan deposit yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini.

 

"Sementara itu, margin faedah bersih (NIM) dijangka pulih (secara berperingkat) manakala persaingan deposit akhir tahun dilihat boleh menjejaskan keadaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyellidikan itu berkata, kenderaan bermotor, gadai janji kediaman terus memacu pertumbuhan hutang selain pinjaman tidak bercagar juga menyumbang kepad apeningkatan itu.

 

Katanya, hutang isi rumah terus mengatasi aset kewangan walaupun kadar pertumbuhan aset kewangan lebih tinggi, berikutan pengurangan pengeluaran KWSP.

 

"Peningkatan dalam pinjaman kadar terapung kumpulan berpendapatan rendah meningkat secara relatifnya, walaupun ini sebahagian besarnya dalam jangkaan bank," katanya.

 

MIDF Research menyukai CIMB (beli, TP:RM6.43) dan Public Bank (beli, TP:RM4.76). - DagangNews.com