MIDF Research semak naik unjuran TIV 2023 sebanyak 5% kepada 713,000 unit | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak naik unjuran TIV 2023 sebanyak 5% kepada 713,000 unit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mac - MIDF Research menyemak naik unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) sektor automotif bagi 2023 sebanyak 5% kepada 713,000 unit, berdasarkan pesanan tertunggak industri. 

 

Menurutnya, setakat ini TIV meningkat sebanyak 30% dari tahun ke tahun kepada 112,128 unit, menyumbang 17% daripada ramalan TIV 2023 yang dibuat sebelum ini iaitu 678,000.

 

“Berikutan pengukuhan pesanan tertunggak industri dan seiring dengan semakan menaik syarikat pada musim keputusan suku keempat tahun kalendar 2022 barubaru ini, kami meningkatkan ramalan TIV 2023 berjumlah 5% kepada 713,000.

 

“Oleh itu, kami turut meningkatkan ramalan pendapatan sektor ini bagi tahun kewangan 2023 kepada purata 14 peratus,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, keputusan suku keempat 2022 menyaksikan tekanan margin keuntungan disebabkan oleh kos bahan mentah yang lebih tinggi dan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh berbanding ringgit.

 

Katanya, keadaan itu dijangka berkurangan pada suku tahun depan, walaupun kenaikan sementara pada Februari 2023 seharusnya positif untuk margin keuntungan pengeluar yang terdedah kepada dolar AS seperti UMW dan Tan Chong Motor.

 

"Kami menjangkakan tekanan kos akan berkurangan di Perodua daripada suku kedua 2023 sejajar dengan penurunan harga keluli dan aluminium selain pengurangan kesesakan rantaian bekalan komponen dan jumlah yang lebih tinggi tahun ini yang akan mengurangkan kos pengeluaran," katanya.

 

Firma itu menyemak naik ramalan pendapatan FY23 terhadap Bermaz Auto (BAuto), UMW dan MBM Resources (MBMR), masing-masing sebanyak 27%, 13% dan 9%, disamping mengekalkan unjuran tidak berubah terhadap Tan Chong Motor.

 

Seiring dengan ramalan tersebut, ia turut meningkatkan harga sasaran bagi saham-saham BAuto, UMW dan MBMR masing-masing sebanyak 20%, 6% dan 2%.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor itu. - DagangNews.com