MIDF Research semak naik unjuran untung bersih MBM Resources sebanyak 8.5% bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak naik unjuran untung bersih MBM Resources sebanyak 8.5% bagi FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - MIDF Research menyemak naik unjuran untung bersih MBM Resources Berhad sebanyak 8.5% bagi FY23 sejajar dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) serta kadar tempahan tertunggak Perodua yang tinggi.

 

Firma itu berkata, TIV Perodua yang disemak semula sebanyak 296,000 unit menandakan satu lagi rekod tertinggi tetapi lebih konservatif daripada sasaran dalaman pengurusan kumpulan sebanyak 314,000 unit.

 

"Untung bersih FY23 kami melibatkan pertumbuhan 4% untuk satu lagi tahun pendapatan didorong oleh pendapatan Perodua yang lebih tinggi dan kadar cukai yang dinormaliasasi selepas ketiadaan Cukai Makmur," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak 64.4% kepada RM281.55 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding RM171.22 juta untuk tempoh sama pada tahun sebelumnya didorong kadar jualan jualan kenderaan dan bahagian pembuatan.

 

Hasil kumpulan itu juga meningkat sebanyak 51% kepada RM2.31 bilion berbanding RM1.53 bilion sebelum ini.

 

Firma itu berkata, Produa menyasarkan rekod jualan bagi 2023 dengan sasaran jualan sebanyak 314,000 unit dengan pesanan tertunggak sebanyak 220,000 unit, ia membentuk 70% daripada sasaran 2023 dan ia merupaka sasaran yang realistik.

 

Katanya, jualan kenderaan akan terus dirangsang oleh Axia baharu yang kini memperoleh kira-kira 20,100 unit tempahan selepas dua minggu tempahan dibuka kepada orang ramai.

 

"Axia merupakan model ketiga terbaik Perodua yang merangkumi anggaran 20% daripada jualan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

"Sementara itu, Alza memperoleh 65,000 unit tempahan setakat kemas kini terakhir pada November 2022 dengan purata penghantaran 4,000 unit sebulan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.70 sesaham. - DagangNews.com