MIDF Research semak turun unjuran pendapatan Globetronics bagi FY22-23 sebanyak 24% dan 38% | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak turun unjuran pendapatan Globetronics bagi FY22-23 sebanyak 24% dan 38%

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Okt - MIDF Research menyemak turun unjuran pendapatan Globetronics Technology Berhad bagi FY22-FY23 sebanyak 24% dan 38%.

 

Firma itu berkata, unjuran itu dibuat selepas kumpulan itu meraih pendapatan sebanyak RM27.6 juta bagi 9MFY22 tetapi gagal mencapai unjuran konsensus firma itu.

 

Kumpulan itu berkata, keputusan negatif itu adalah disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah daripada jangkaan dengan jualan dari segmen Asia Tenggara merosot kepada RM131.7 juta (12.1%yoy) berbanding RM149.9 juta pada 2HFY21.

 

"Segmen Amerika Utara mencatatkan penguncupan jualan sebanyak 40.5%yoy kepada RM4.4 juta daripada RM7.4 juta pada 2HFY21," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih bagi 3QFY22 turun 21.4% kepada RM12.78 juta berbanding RM16.27 juta pada tahun lalu terutamanya disebabkan jualan yang lebih rendah daripada beberapa pelanggan kumpulan itu.

 

Globetronics, yang merupakan pengeluar kontrak bersepadu produk dan perkhidmatan berasaskan semikonduktor, mengiktiraf perbelanjaan cukai yang lebih tinggi sebanyak RM2.3 juta pada 3QFY22, berbanding RM900,000 pada tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun ia diimbangi oleh keuntungan pertukaran asing yang lebih tinggi sebanyak RM3.9 juta pada 3QFY22, lebih tinggi daripada RM900,000 setahun sebelumnya.

 

Firma itu berkata, prospek kumpulan itu dilihat kukuh disebabkan kepakaran kumpulan dalam produk penderia berteknologi tinggi yang digunakan dalam pelbagai sektor dan aplikasi.

 

Firma itu masih menjangkakan pertumbuhan pendapatan yang lebih konsisten pada masa hadapan disebabkan penggunaan penderia pintar yang semakin meningkat merentas pasaran menegak.

 

"Selain itu, pemulihan dalam pasaran automotif juga akan memberi kesan positif kepada perniagaan LED kumpulan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.31. - DagangNews.com