KUALA LUMPUR 7 Feb - MIDF Research mengunjurkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) berkembang pada kadar 3.5% pada 2023.
Walaupun pertumbuhan IPP pada Disember 2022 lebih lemah daripada jangkaan, secara keseluruhannya ia meningkat sebanyak 6.9% pada 2022 yang tidak terlalu jauh daripada anggaran firma itu sebanyak 7%.
Firma itu berkata, pengeluaran terus berkembang tahun lepas selepas pertumbuhan 7.2% pada 2021 apabila syarikat meningkatkan pengeluaran untuk menampung permintaan yang semakin bertambah dari pasaran domestik dan eksport.
"Di sebalik pembukaan semula ekonomi dan peralihan ke fasa endemik, kami mendapati pertumbuhan IPP 2022 disokong oleh pertumbuhan keluaran yang lebih kukuh dalam sektor berorientasikan domestik, ia berkembang lebih pantas pada 12% (2021: 10.7%); berbeza dengan pertumbuhan keluaran sederhana sebanyak 7% dalam sektor berorientasikan eksport (2021: 13%).
"Untuk 2023, kami mengekalkan unjuran kami bahawa pertumbuhan IPP akan menyederhana kepada 3.5%, mengambil kira permintaan luar yang sederhana dan kesan asas rendah yang berkurangan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, Jabatan Perangkaan menyatakan IPP berkembang 6.9% pada 2022 berbanding 7.2%pada tempoh sama tahun sebelumnya, didorong oleh kenaikan indeks pembuatan (8.2%); indeks elektrik (4.5%) dan indeks perlombongan (2.8%).
Bagi keseluruhan suku terakhir 2022 itu, IPP meningkat pada kadar lebih perlahan 4.1% berbanding suku sama 2021, dipengaruhi oleh pertumbuhan dalam indeks pembuatan (4%) dan indeks perlombongan (6.2%).
Pada Disember 2022, pertumbuhan susut pada 3% daripada 4.8% pada November 2022 yang dipacu oleh indeks perlombongan (4.1%) dan indeks pembuatan sebanyak 3%.
Selain peningkatan berterusan dalam perbelanjaan domestik, firma itu mengunjurkan pengeluaran akan terus berkembang berikutan keadaan bekalan yang bertambah baik, tekanan kos yang berkurangan dan bekalan pekerja asing yang lebih baik.
"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati dengan prospek IPP 2023 yang mungkin terjejas akibat kejatuhan permintaan global melebihi jangkaan, inflasi tinggi yang berpanjangan dan risiko gangguan bekalan," katanya. - DagangNews.com