MIDF Research unjur minyak sawit mentah didagangkan tidak menentu antara Januari hingga Mac 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur minyak sawit mentah didagangkan tidak menentu antara Januari hingga Mac 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - MIDF Research mengunjurkan dagangan minyak sawit mentah (MSM) tidak menentu dalam tempoh Januari hingga Mac 2023 pada harga antara RM3,500 hingga RM4,500 satu tan tan. 

 

Firma itu berkata, sektor itu juga berhadapan beberapa risiko termasuk prospek permintaan yang lemah berikutan tekanan inflasi ditambah dengan perbelanjaan isi rumah yang ketat pada kadar faedah asas yang tinggi di peringkat tempatan dan global.

 

"Selain itu, Indonesia juga membuat satu lagi lanjutan dasar sifar levi untuk eksport minyak sawit bagi CY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pengeluaran MSM Malaysia pada akhir tahun lalu adalah sebanyak 1.62 juta tan berbanding 1.45 juta tan hasil sumbangan daripada semua negeri kecuali Terengganu akibat musim tengkujuh.

 

Katanya, purata hasil buah tandan segar (BTS) melonjak sebanyak 9.5% kepada 1.38 tan sehektar namun kadar perahan minyak (OER) lebih rendah iaitu 19.55% disebabkan cuaca yang tidak baik selain aliran masuk tenaga kerja yang perlahan.

 

"Memasuki 1QCY23, kami menjangkakan prestasi akan menurun kerana pokok sawit memasuki kitaran pendebungaan dan hujan berterusan yang akan mengakibatkan pengeluaran BTS yang lebih rendah," katanya.

 

Firma itu berkata, penutupan stok pada Disember 2022 melonjak sebanyak 35.9% kepada 2.20 juta tan berbanding 1.61 juta tan disebabkan oleh peningkatan dalam pengeluaran sejajar dengan musim produktif.

 

Katanya, bekalan MSM dan PKO masing-masing meningkat 51.5% dan 54.2% dirangsang oleh sumbangan sihat dari Semenanjung (53.4%), Sabah (51.8%), serta Sarawak (51.5%)

 

"Kami percaya stok minyak sawit Malaysia telah memuncak dan secara beransur-ansur akan disatukan pada 1QCY23," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu dengan harga sasaran MSM sebanyak RM3,500. - DagangNews.com