MIDF Research unjur perdagangan runcit berkembang 8.9% pada 2023 didorong asas domestik yang kukuh | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur perdagangan runcit berkembang 8.9% pada 2023 didorong asas domestik yang kukuh

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac - MIDF Research mengunjurkan perdagangan runcit berkembang 8.9% bagi 2023 didorong prospek ekonomi makro dan asas domestik yang semakin baik.

 

Firma itu berkeyakinan pertumbuhan dagangan runcit mampu mencecah paras yang diunjurkan pada tahun ini.

 

"Kami percaya permintaan akan berterusan sehingga tahun ini disokong oleh pasaran buruh yang bertambah baik, tekanan inflasi yang stabil, dasar ekonomi yang akomodatif dan peningkatan dalam industri pelancongan.

 

"Walaupun kadar dasar semalaman (OPR) menghampiri kadar normal sebanyak 3.00%, kami percaya ia akan memberi kesan minimum ke atas prospek perbelanjaan domestik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Jualan dagangan Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 12.4% pada bulan pertama 2023, menandakan bulan ke-10 berturut-turut kadar pertumbuhan dua angka dengan semua komponen kecuali perdagangan borong mencatatkan pengembangan dua digit yang kukuh.

 

BACA JUGA: Perdagangan borong dan runcit pada Januari rekod jualan RM135.1 bilion, tumbuh 12.4% - DOSM

 

Jualan kenderaan bermotor meningkat 20.1% manakala dagangan borong meningkat sebanyak 3.1%, keuntungan paling lemah sejak Oktober 2021 dan ia mencerminkan kesan permintaan terpendam dan jualan dagangan runcit melonjak sebanyak 21.7%.

 

Tidak termasuk kesan harga, jumlah pelarasan pertumbuhan perdagangan pengedaran mencecah paras terendah dalam sembilan bulan pada 5.2%, terutamanya akibat penguncupan sebanyak 3.5% dalam perdagangan borong.

 

"Kenderaan bermotor dan perdagangan runcit masing-masing meningkat sebanyak 10.2% dan 13.8% pada Januari 2023.

 

"Kami berpendapat momentum permintaan domestik yang menggalakkan akan diteruskan pada 2023 disokong oleh pasaran buruh yang stabil, tekanan inflasi yang lemah, peningkatan dalam aktiviti pelancongan dan dasar ekonomi yang menyokong," katanya. - DagangNews.com