MIDF Research yakin Sunway Construction raih lebih banyak projek pada FY23 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research yakin Sunway Construction raih lebih banyak projek pada FY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jan - MIDF Research menjangkakan FY23 akan menjadi tahun terbaik untuk  Sunway Construction Group Berhad selepas mengambil kira prospek pendapatan berdasarkan kepada tempahan kerja mencecah hampir RM6 bilion.

 

Firma itu berkeyakinan dengan keupayaan kumpulan untuk mendapatkan lebih banyak projek pada 2023 termasuk di dalam Sunway Group serta projek infrastruktur seperti pakej utama projek MRT3. 

 

"Sunway Construction juga sedang merundingkan terma dan syarat untuk kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) loji janakuasa arang batu di Daerah Hau Giang di Vietnam, projek bernilai AS$2.2 bilion (RM9.69 bilion) yang akan dilaksanakan melalui usaha sama 60:40 dengan Syarikat Saham Bersama Power Engineering Consulting 2," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Sunway Construction menerima surat anugerah (LOA) yang dikeluarkan oleh GBS Suria Sdn. Bhd. (GBS Suria) untuk kontrak bernilai RM218.76 juta.

 

Kontrak itu terdiri daripada kerja-kerja reka bentuk dan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk kemudahan penjanaan tenaga solar fotovoltaik dengan kapasiti penjanaan 50 megawatt (MW) di Kampar, Perak.

 

Kerja-kerja EPCC itu termasuk pencawang baharu 132 kilovolt (kV) dan kemudahan berkaitan serta kerja berkaitan di Kemudahan Kesalinghubungan Tenaga Nasional Bhd (TNB), katanya.

 

Kerja-kerja EPCC akan dimulakan serta-merta pada 17 Januari 2023 dan tempoh untuk menyiapkan kerja-kerja EPCC oleh SCSB adalah 20 bulan dari tarikh permulaan.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu kekal sebagai pilihan utama untuk sektor pembinaan, selain Gamuda (beli, TP: RM4.67) dan IJM Corp (beli, TP: RM1.93).

 

Firma itu menyukai keupayaan Sunway Construction dalam mengendalikan margin keuntungan dengan baik selain kunci kira-kira kukuhnya yang berada dalam kedudukan tunai bersih RM175.5 juta.

 

Kami juga berbesar hati untuk memerhatikan aspirasi mereka dalam mengembangkan operasinya di luar negara, dengan rundingan berterusan untuk projek loji janakuasa di Vietnam.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.87 sesaham," katanya. - DagangNews.com