Minat, motivasi daripada buku jadikan Iylia usahawan bakeri  | DagangNews Skip to main content

Minat, motivasi daripada buku jadikan Iylia usahawan bakeri 

Nur Iylia menunjukkan croissant pandan yang sentiasa laris dijual.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 14 Mac -  Ada yang berkata, memulakan perniagaan tanpa pengalaman dan modal yang cukup boleh mengundang risiko sesuatu perusahaan itu tidak boleh kekal lama.

 

Bagaimana pun, berbeza bagi Nur Iylia Shahriman, 32, apabila membuka kedai kek dan cookies sejak empat tahun lalu bersandarkan minat serta membaca buku-buku motivasi.

 

Bermula secara kecil-kecilan di rumah, dia kini merupakan pemilik My Ultimate Bakes di Jalan Pasir Puteh iaitu antara kedai bakeri bumiputera yang popular di Ipoh termasuk viral dalam laman media sosial.

 

Pelbagai jenis cookies, kek cawan, croissant dan lain-lain pencuci mulut serta kek yang dijual di kedai ini cepat laris dicari pelanggan.

 

Disebabkan minat juga, pemegang ijazah sarjana muda kejuruteraan elektrikal dan elektronik serta sarjana elektrik kuasa ini tidak mahu bekerja makan gaji.

 

 

parafrasa
Kedai kek My Ultimate Bakes yang terletak di Pusat Perniagaan Pengkalan Putra, Jalan Pasir Puteh, Ipoh.

 

 

Menurut Nur Iylia, dia menjadi penggemar cookies semasa menuntut di Auckland, New Zealand dan mula mempelajari cara-cara membuatnya menerusi laman sosial.

 

"Saya banyak mencuba dan mengolah sendiri resepi cookies semata-mata untuk mendapatkan rasa sama sepertimana yang saya makan semasa di New Zealand.

 

"Apabila menyambung pengajian sarjana di Universiti Teknologi Petronas (UTP) pada 2016, saya mula menjual cookies kepada pelajar dan dari situlah perniagaan ini bermula.

 

"Ketika itu tiada kafe di universiti ini, jadi cookies jualan saya memang sentiasa habis.

 

 

parafrasa
Sebahagian daripada kek dan cookies yang dihasilkan.

 


"Hasil jualan cookies saya guna beli oven terpakai dan mula membuat kek dan brownies. Pelanggan saya masih pelajar UTP  selain mula terima tempahan luar.

 

"Setelah tamat belajar pada 2019, saya buka kedai kecil berdekatan rumah di Batu Gajah disebabkan tempahan semakin banyak dan tidak sesuai lagi beroperasi di rumah," ujarnya.

 

Tanpa bimbingan dan tidak pernah menyertai mana-mana bengkel keusahawanan, wanita ini bergantung sepenuhnya daripada wang simpanan hasil jualan untuk membesarkan perniagaan.

 

Setahun kemudian, Nur Ilya berpindah menyewa di lokasi sekarang dengan modal RM100,000 untuk kos ubah suai premis dan kelengkapan hasil tabungan berniaga.

 

"Kedai dibuka bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang sahaja. Walaupun ada permintaan pelanggan supaya lanjutkan masa tetapi kita kekalkan waktu sedia ada agar petugas mempunyai cukup rehat.

 

 

parafrasa
My Ultimate Bakes antara kedai bakeri yang popular di Ipoh.

 

 

"Ketika ini saya mempunyai lapan orang petugas yang kesemuanya tidak mempunyai asas membuat kek dan cookies tetapi belajar sebaik diambil bekerja," katanya.

 

Nur Iylia kini merancang membuka sebuah lagi kedai di Ipoh bagi membesarkan lagi perniagaan selain dapat menawarkan peluang pekerjaan. - DagangNews.com