Mindef dijangka belanja RM10 bilion pada RMK-13 bagi perolehan kapal, helikopter baharu TLDM | DagangNews Skip to main content

Mindef dijangka belanja RM10 bilion pada RMK-13 bagi perolehan kapal, helikopter baharu TLDM

Kapal MRSS kelas Makassar buatan PT PAL Indonesia dijangka menjadi pilihan TLDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 11 Jul - Kementerian Pertahanan (Mindef) dijangka membelanjakan kira-kira RM10 bilion bagi melaksanakan perolehan aset baharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi pemodenan armada.

 

Perolehan dalam tempoh lima tahun itu akan dibuat dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) iaitu bermula 2026-2030.

 

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari semasa Perbahasan Penggulungan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat semalam.

 

 

Menurut beliau, perolehan kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 yang diputuskan kerajaan pada Jun lalu merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan armada TLDM.

 

Kapal
Pembelian kapal LMS dibuat mengikut perancangan TLDM.

 

Perolehan 3 buah kapal tersebut dilakukan melalui kaedah perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) dengan Turkiye.

 

Katanya, pembelian baki 3 buah LMS lagi akan dimasukkan di bawah RMK-13, namun nilai bagi pembelian ini tidak dinyatakan.

 

TLDM turut merancang membeli 2 buah kapal sokongan logistik pelbagai peranan (MRSS), 4 buah helikopter antikapal selam dan 6 buah pesawat udara tanpa pemandu (UAV).

 

Proses perolehan bagi aset-aset baharu ini dijangka berlangsung sehingga 2030. 

 

Bagaimana pun, difahamkan juga perolehan ini nanti akan bergantung kepada keadaan ekonomi semasa kerajaan, bermakna ada perubahan pada keputusan akhir.

 

Kapal
Kapal MRSS merupakan pembelian yang tertangguh sejak 10 tahun lalu.

 

Kapal
Delegasi TLDM semasa melakukan lawatan ke limbungan PT PAL Indonesia di Surabaya bagi melihat fasiliti pembinaan kapal.

 

Secara amnya, perolehan aset-aset yang disebut ini telah pun berada dalam senarai perancangan TLDM dan sepatutnya dibuat seberapa segera.

 

Cuma, meletakkan rancangan pembelian pada RMK-13 bermakna tempoh untuk mendapatkan aset-aset ini juga akan mengambil masa lama berbanding untuk diterima.

 

Mengikut kebiasaan tempoh kontrak bagi sesebuah aset seperti kapal misalnya adalah selama 36 bulan atau tiga tahun sehingga aset diserahkan kepada TLDM.

 

LMS Batch 2 menjadi perolehan kedua terbesar TLDM selepas projek kapal tempur pesisir (LCS) berdasarkan nilai keseluruhan sebanyak RM6 bilion dengan lapan buah kapal.

 

Perolehan tiga kapal pertama dijangka memerlukan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion.

 

Kapal
Helikopter Super Lynx perlu diganti dengan pesawat yang berkemampuan lebih baik.

 

Kapal
Helikopter Wildcat antara yang bersaing untuk menggantikan Super Lynx.

 

Berdasarkan perancangan Program Transformasi TLDM 15 to 5, kapal MRSS dan LMS sebenarnya diletakkan di bawah RMK-11 dan RMK-12.

 

Pendedahan LKAN minggu lalu mendapat perhatian umum berikutan semakan audit mendapati prestasi perolehan dan penerimaan kapal TLDM rendah.

 

Ini kerana TLDM hanya menerima 4 buah kapal berbanding sasaran 18 kapal ditetapkan dalam dua rancangan RMK tersebut.

 

Bermakna perolehan 2 kapal MRSS ini telah pun terlewat 10 tahun manakala LMS masih mengikut jadual.

 

Perolehan helikopter antikapal selam pula bagi menggantikan helikopter Super Lynx Mk300.

 

Kapal
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin semasa menandatangani perjanjian membeli kapal LMS di Turkiye.

 

TLDM mengoperasikan 6 buah helikopter ini sejak tahun 2003 yang telah pun mencecah usia 20 tahun.

 

Difahamkan, hanya 4 buah helikopter Super Lynx masih ada manakala 2 lagi diletakkan di bawah Penyimpanan Jangka Panjang (LTS) disebabkan tiada sokongan keperluan logistik pesawat.

 

Sehubungan itu, TLDM perlu mendapatkan helikopter pengganti supaya keupayaan bagi operasi antikapal selam sentiasa dipertingkatkan.

 

Walau pun kontrak bagi perolehan ini belum dikeluarkan namun beberapa firma pertahanan sudah mula menawarkan helikopter untuk dipertimbangkan Mindef.

 

Ini termasuklah helikopter AW159 Wildcat yang merupakan helikopter paling berkemampuan untuk dimiliki, moden dan lincah bagi misi peperangan antikapal selam.

 

Kapal
Mindef perlu mendapatkan peruntukan besar daripada kerajaan agar rancangan untuk memodenkan armada TLDM dapat dilaksanakan.

 

Wildcat juga merupakan varian tercanggih yang dibina berasaskan model Super Lynx.

 

Tidak ketinggalan Korea Selatan menerusi firma KAI yang menawarkan helikopter Marineon MOH untuk menggantikan Super Lynx TLDM.

 

Walau pun terpaksa menunggu sehingga RMK-13, setidak-tidaknya Mindef telah meletakkan sasaran untuk perolehan dilaksanakan.

 

Pada satu aspek pula, ini bakal membuka ruang persaingan antara firma-firma pertahanan antarabangsa untuk meletakkan Malaysia dalam radar jualan masing-masing.

 

Bermakna fokus mereka pada pasaran pertahanan di Malaysia masih penting. - DagangNews.com